BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
KUALA LUMPUR, 11 Mei -- Public Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM1.53 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2021 berbanding dengan RM1.33 bilion pada suku yang sama 2020.
Menurut kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, bank itu menjelaskan prestasi lebih baik tersebut didorong terutama oleh peruntukan susut nilai pinjaman lebih rendah, pendapatan bersih daripada perniagaan perbankan Islam dan pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi di samping peningkatan fi bersih dan pendapatan komisen.
Perolehan bagaimanapun susut kepada RM5.03 bilion daripada RM5.51 bilion manakala perolehan asas sesaham naik kepada 7.88 sen daripada 6.85 sen bagi tempoh yang sama.
Menerusi kenyataan berasingan, Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow berkata persekitaran operasi kekal mencabar pada suku pertama 2021 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan untuk menangani peningkatan semula kes baharu COVID-19.
“Meskipun mengharungi cabaran ini, ekonomi Malaysia beransur-ansur memperoleh momentum, disokong oleh sentimen lebih baik daripada pelaksanaan program vaksin COVID-19 di peringkat global, serta pelbagai sokongan dasar yang berterusan.
“Susulan persekitaran ekonomi yang lebih positif, syarikat telah mencatatkan prestasi keuntungan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata prestasi itu dipacu oleh pengembangan perniagaan pinjaman dan deposit yang berterusan, dilonjakkan lagi oleh pertumbuhan perolehan berasaskan fi.
Setakat akhir Mac 2021, pinjaman keseluruhan oleh Public Bank merekodkan pertumbuhan tahunan 4.8 peratus, dan ia didorong terutama oleh pembiayaan hartanah kediaman, pembiayaan kenderaan penumpang serta pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana.
Beliau berkata berasaskan persekitaran kadar faedah rendah dan langkah rangsangan ekonomi, kelulusan bagi pinjaman perumahan juga meningkat, iaitu naik 26.5 peratus pada suku pertama 2021 daripada angka pada tempoh yang sama 2020.
“Industri perbankan dijangka melakarkan prestasi lebih positif pada 2021 berlandaskan persekitaran operasi yang lebih baik
“Bagaimanapun, kami juga menyedari risiko negatif berterusan yang boleh kekal mengganggu perniagaan perbankan,” katanya.
Beliau berkata hala tuju perniagaan strategik, amalan pengurusan risiko berhati-hati di samping langkah kecekapan kos akan kekal sebagai agenda perniagaan syarikat untuk menghadapi ketidaktentuan dan bertindak balas sewajarnya terhadap sebarang perubahan.
“Walaupun Public Bank kekal optimis namun berwaspada mengenai unjuran ekonomi, kami akan terus berusaha untuk mencapai pertumbuhan perniagaan dalam segmen perniagaan teras sekali gus menjana nilai bagi pemegang kepentingan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial