KUALA LUMPUR, 11 Mei -- Ringgit dijangka terus terdedah kepada tempoh volatiliti yang ketara memandangkan keadaan berkaitan dengan momentum pemulihan ekonomi global dan dalam negeri pada masa hadapan masih tidak menentu, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Beliau berkata ringgit menyusut nilai sebanyak 3.5 peratus berbanding dolar AS pada suku pertama tahun 2021, disebabkan terutamanya oleh dolar AS yang semakin kukuh dan ini turut mengakibatkan mata wang negara maju dan negara sedang pesat membangun secara umumnya menjadi semakin lemah.
Hal ini disebabkan oleh tindakan pelabur global yang mengimbangi semula pelaburan portfolio mereka berikutan kenaikan kadar hasil Perbendaharaan AS, didorong oleh prospek pemulihan ekonomi AS yang bertambah kukuh dan jangkaan inflasi yang lebih tinggi.
"Sejak 1 April, ringgit telah menambah nilai sebanyak 1.0 peratus berbanding dolar AS (setakat 7 Mei) dan pertambahan nilai ini adalah sejajar dengan penurunan nilai dolar AS apabila kadar hasil Perbendaharaan AS mula menunjukkan trend menurun daripada paras tertinggi pada bulan Mac, katanya dalam sidang media yang diadakan secara maya bagi mengumumkan prestasi KDNK suku pertama 2021 hari ini.
Kenaikan harga minyak dunia pada awal bulan April juga memberikan sedikit sokongan kepada sentimen pelabur secara keseluruhan, kata Nor Shamsiah.
Mengenai keadaan pembiayaan, beliau berkata pembiayaan bersih kepada sektor swasta mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 4.7 peratus pada suku pertama, disokong terutamanya oleh pertumbuhan jumlah pinjaman terkumpul yang lebih tinggi sebanyak 4.3 peratus (S4 2020: 3.7 peratus).
"’Pengeluaran pinjaman dan pembayaran balik pinjaman perniagaan kekal melebihi paras purata suku tahunan pada tahun 2017 hingga 2019.
"’Permintaan pinjaman isi rumah juga kekal menggalakkan berikutan persekitaran dasar monetari yang akomodatif dan pelaksanaan pelbagai langkah rangsangan," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial