Oleh Linda Khoo Hui Li
BANGKOK, 10 Mei -- Thailand hari ini mengenakan larangan kemasukan warga asing yang melakukan perjalanan dari tiga lagi negara iaitu Pakistan, Bangladesh dan Nepal bermula hari ini dalam usaha untuk mengekang penularan varian COVID-19 India.
Sebelum ini larangan sama dikenakan ke atas warag asing yang melakukan perjalanan dari India.
Terdahulu, Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) mengesahkan laporan bahawa pelancong dari Pakistan ke Thailand telah dijangkiti varian COVID-19 India.
Jurucakap Kementerian Luar, Tanee Sangrat, berkata CCSA meminta kementerian untuk menangguhkan sementara pengeluaran Sijil Masuk (CoE) kepada semua warga asing yang melakukan perjalanan dari negara yang mempunyai kes varian India itu.
"Kami bersetuju dengan syor CCSA ... Saya ulangi bahawa langkah itu hanya sementara kerana kerajaan Thailand mahu memastikan usaha mencegah penularan varian baharu di negara ini dapat dilaksana dengan berkesan.
"Langkah ini hanya sementara untuk semua warga negara asing yang datang dari tiga negara tersebut.
"Bagaimanapun, warga Thailand, diplomat misi di Thailand dan keluarga mereka serta penduduk tetap yang melakukan perjalanan dari negara terbabit masih boleh kembali ke Thailand jika mahu," katanya dalam satu kenyataan.
Sejak 1 Mei, kementerian luar menangguhkan pengeluaran CoE kepada warga asing yang ingin melakukan perjalanan dari India ke Thailand.
Thailand mengesan kes pertama varian India, melibatkan ibu dan anak warga tempatan yang tiba dari Pakistan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial