EKONOMI

Saham Gamuda susut di sebalik cadangan pengambilalihan lebuh raya

10/05/2021 12:15 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei -- Saham Gamuda Bhd rendah sedikit pagi ini di sebalik berita mengenai cadangannya agar empat lebuh raya bertolnya diambil alih oleh badan amanah lebuh raya, bernilai RM5.2 bilion.

Pada 10.17 pagi, kaunter itu susut satu sen kepada RM3.49 dengan 49,000 saham bertukar tangan.

Kumpulan pembangunan infrastruktur dan hartanah itu dilaporkan memberi cadangan kepada kerajaan untuk menjual empat konsesi lebuh rayanya kepada badan amanah yang dikenali sebagai Amanah Lebuhraya Sdn Bhd.

Badan amanah itu akan membiayai pengambilalihan berkenaan dengan mendapatkan wang daripada pelabur bon yang menjanjikan pulangan tahunan antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus, disokong aliran tunai daripada tol itu tanpa memerlukan jaminan kerajaan. 

Dalam nota penyelidikan hari ini, Kenanga Investment Bank Bhd berpendapat badan amanah lebuh raya itu merupakan idea yang baik kerana ia memanfaatkan Gamuda dan kerajaan, di samping perniagaan dan rakyat di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Dengan melaksanakan cadangan ini, kita lihat kerajaan merupakan penerima manfaat terbesar kerana dapat menjimatkan pampasan tol berjumlah RM5.3 bilion ke atas tempoh berbaki konsesi tol.

“Ini secara tidak langsung (akan) membantu Gamuda meningkatkan ekuiti insiatif pendanaan swasta untuk mengaktifkan semula projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3)  yang dirancang.

“Ini bererti mengurangkan beban kewangan dan pada masa yang sama, merangsang ekonomi,” katanya.

Firma penyelidikan itu juga yakin cadangan baharu itu adalah lebih baik berbanding model yang dicadangkan pada 2019 -- yang mana kerajaan perlu menjadi penjamin dan menyarankan model caj kesesakan yang boleh mengganggu aliran trafik di lebuh raya/pengangkutan awam yang bersaing.

Oleh itu, Kenanga Investment mengekalkan saranan ‘Outperform’ ke atas saham Gamuda dengan harga sasaran pada RM4.17.

Sementara itu, CGS-CIMB Securities berpendapat Gamuda mungkin menggunakan hasil jualan itu untuk membiayai sebahagian dana projek Penang South Islands 10 tahun dan berkemungkinan mempunyai pembayaran dividen khas.

Ia mengekalkan saranan ‘tambah’ kepada saham kumpulan itu selain menurunkan harga sasaran sebanyak 10 peratus kepada RM4.18 sesaham.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan