EKONOMI

Perangkaan: Hasil sektor perkhidmatan susut 2.1 peratus kepada RM428.5 bln pada suku pertama 2021

07/05/2021 03:03 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei -- Hasil sektor perkhidmatan menguncup 2.1 peratus tahun ke tahun kepada RM428.5 bilion pada suku pertama 2021, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan menyusut 0.2 peratus kepada RM346.7 bilion, diikuti oleh segmen maklumat dan komunikasi; dan pengangkutan dan penyimpanan yang merosot 6.4 peratus kepada RM59.8 bilion

Beliau seterusnya berkata segmen kesihatan dan kesenian dan hiburan dan rekreasi turut mengalami kejatuhan 23.1 peratus kepada RM12.9 bilion sementara segmen profesional dan ejen hartanah merosot 8.1 peratus kepada RM9.0 bilion.

“Prestasi sektor perkhidmatan pada suku tahun pertama 2021 menunjukkan kadar pertumbuhan yang rendah disebabkan negara masih berdepan dengan penularan pandemik COVID-19.

"Ekonomi pada suku tahun akan datang dijangka pulih berikutan aktiviti ekonomi terus dibenarkan beroperasi sepenuhnya," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, jumlah hasil bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun menunjukkan penurunan sebanyak RM7.4 bilion atau 1.7 peratus kepada RM428.5 bilion, kata Mohd Uzir.

Beliau berkata jumlah pekerja dalam sektor ini ialah 3.7 juta orang, merosot 2.2 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun lepas.

"Kemerosotan ini disebabkan oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan dengan penurunan sebanyak 48,705 orang diikuti segmen kesihatan, pendidikan dan kesenian, hiburan dan rekreasi seramai 7,253 orang.

Bagi perbandingan suku ke suku tahunan, jumlah pekerja berkurangan sebanyak 10,892 orang atau 0.3 peratus. 

Mohd Uzir menambah selari dengan penurunan dalam jumlah pekerja, gaji dan upah yang dibayar turut merosot, merekodkan RM24.2 bilion iaitu menguncup 3.1 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

"Ini disumbangkan oleh segmen maklumat dan komunikasi; dan pengangkutan dan penyimpanan dengan penurunan 10.5 peratus diikuti segmen perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman serta penginapan yang menyusut 1.0 peratus.

Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, gaji dan upah jatuh sebanyak RM466.7 juta atau 1.9 peratus, tambahnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan