IPOH, 6 Mei -- Identiti dua nelayan warga Myanmar yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam dalam kejadian ribut kira-kira 6.6 batu nautika di perairan Pulau Talang, dekat Pantai Remis semalam, telah dikenal pasti.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata operasi mencari Aung Zaw Lin, 31 dan Man Lo, 41, yang dipercayai hilang kira-kira 12.05 tengah malam, masih diteruskan sehingga kini.
“Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi telah menyambung koordinasi operasi mencari seawal 7.30 pagi tadi. Operasi pencarian giat dilaksanakan, ditengah kelajuan angin di laut kira-kira 10 hingga 20 kilometer sejam serta ketinggian ombak setinggi satu meter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) merangkumi keluasan 163.2 batu nautika persegi melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu KM Nyalau yang bertindak sebagai On Scene Commander (OSC) di lapangan dan dibantu Bot Perkasa 1223, Bot PSC 24 dari Pasukan Polis Marin serta lapan bot nelayan tempatan.
Semalam, Shahrizan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.35 tengah malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi SAR.
Menurut beliau bot nelayan tempatan itu adalah antara empat bot nelayan kelas B yang dilaporkan karam akibat dilanda ribut ketika keluar menangkap ikan Selasa lepas namun tiga bot yang lain terselamat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial