KUALA LUMPUR, 5 Mei-- Keadaan pembuatan ASEAN mencatatkan penambahbaikan lebih pantas pada April tahun ini kepada 51.9 daripada 50.8 yang direkodkan pada Mac, demikian menurut data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit.
Katanya, prestasi lebih kukuh sektor itu merupakan peningkatan terpantas dalam pengeluaran sejak Julai 2014 dan kenaikan yang tertinggi dalam pesanan baharu sejak Mei 2013, disertai dengan keyakinan perniagaan yang semakin baik apabila syarikat optimis ke arah unjuran tahun hadapan.
Ahli ekonomi IHS Markit, Lewis Cooper berkata data PMI pada April menunjukkan prestasi yang lebih baik bagi sektor pembuatan ASEAN dengan isyarat yang jelas bahawa pemulihan telah bermula.
“Sektor pembuatan ASEAN dilihat bertambah baik pada April. Keadaan perniagaan semakin baik pada kadar terpantas sejak Julai 2014 di tengah-tengah peningkatan kukuh pengeluaran manakala pertumbuhan terkini mengenai pesanan baharu adalah yang terpantas sejak Mei 2013.
“Kemudiannya, syarikat merekodkan unjuran paling meningkat pada tahun akan datang sejak Januari 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Cooper berkata kelewatan bekalan sekali lagi merupakan bukti meskipun berkurangan memandangkan purata masa tunggu bagi input dilanjutkan kepada had terkecil sejak akhir November lepas, memberi isyarat bahawa tekanan rantaian bekalan yang mulai reda kerana telah memasuki suku kedua tahun ini.
“Bagaimanapun, kos terus melonjak pada April dengan kadar inflasi menjadi antara yang terpantas dalam rekod,” tambahnya.
Daripada tujuh negara, Vietnam menyaksikan pertumbuhan terkukuh dengan PMI keseluruhan hampir mencecah paras tertinggi dua setengah tahun pada 54.7, sekali gus menunjukkan kadar pengembangan yang ketara.
Ini diikuti Indonesia yang mencapai paras tertinggi PMI sejak awal 2011 pada 54.6 yang menunjukkan penambahbaikan dalam keadaan keseluruhan pembuatan.
Malaysia turut merekodkan pertumbuhan dengan indeks keseluruhan naik kepada 53.9, pertumbuhan terpantas sejak pertengahan 2012.
Thailand juga mencatatkan pengembangan pada April iatu 50.7, yang menunjukkan kadar pertumbuhan sederhana.
Sementara itu, Singapura dan Filipina kembali merekodkan penguncupan pada April iaitu masing-masing pada 49.5 dan 49.0.
Myanmar mencatatkan penurunan paling ketara daripada tujuh negara yang dipantau iaitu 33.0 berikutan penutupan kilang yang berterusan dalam keadaan ketidakstabilan politik yang terus memberi kesan kepada sektor pembuatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial