AM

Status OKU bukan alasan tidak bayar zakat fitrah - Atlet Paralimpik

04/05/2021 04:20 PM

IPOH, 4 Mei -- Biarpun berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), atlet paralimpik Perak Mohamad Fakrulradzi Zahari tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak menunaikan tanggungjawab membayar zakat fitrah pada bulan Ramadan.

Mohamad Fakrulradzi, 24, yang ketiadaan kedua-dua belah kakinya sejak dilahirkan, berkata sebagai ketua keluarga kepada ibu dan kakaknya, telah menjadikan beliau lebih berdikari dalam melaksanakan tuntutan agama dan tanggungjawab buat keluarga.

“Saya cuma tiada kaki tetapi anggota badan lain lengkap. Zakat fitrah ini diwajibkan bagi yang berkemampuan (bersyarat) untuk membantu orang susah, asnaf atau anak yatim. Lagipun, zakat ini hanya setahun sekali dan bayarannya juga bukan mahal dan mampu untuk dibayar.

"Kalau mampu bayar zakat fitrah, pastikan kita bayar bagi menolong orang yang susah dan memerlukan bantuan,” kata atlet paralimpik dalam kategori angkat berat itu kepada Bernama selepas melakukan lafaz akad fitrah di Masjid Al Ansar, di sini hari ini.

Mohamad Fakrulradzi menjalani pembedahan pemotongan kedua belah kaki ketika berusia lima tahun kerana dilahirkan dengan keadaan kaki yang tidak sempurna.

Atlet itu berkata kehendak menjalankan tuntutan agama dan menyempurnakan rukun Islam adalah bergantung kepada diri sendiri selain faktor kewangan selagi tidak menyusahkan orang ramai.

"Namun sekiranya OKU yang benar-benar sakit sehingga hanya terlantar tanpa boleh melakukan apa-apa, itu tidak mengapalah. Tetapi jika boleh bersiar-siar di luar, pastikan bayaran zakat dibuat sebagai tanggungjawab umat Islam,” katanya.

Dalam pada itu, seorang amil zakat Abd Aziz Abd Rahman, 70, berkata Mohamad Fakrulradzi merupakan OKU pertama yang datang ke masjid itu untuk melaksanakan pembayaran zakat fitrah.

“Sepanjang bertugas di masjid ini sejak lima tahun lepas, ini kali pertama golongan OKU hadir bagi sesi pembayaran zakat fitrah. Saya sangat bersyukur kerana walaupun beliau tidak boleh berjalan tetapi masih datang dan membuat pembayaran dengan penuh keikhlasan,” katanya.

Abd Aziz berkata masyarakat perlu sedar tentang kepentingan zakat fitrah bagi menyucikan harta yang berperanan membangunkan ekonomi umat Islam sekali gus merapatkan jurang antara golongan kaya serta miskin dan membantu golongan asnaf.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan