KUALA LUMPUR, 4 Mei -- Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) 2021, hari ini memulakan siri webinar secara langsung mengenai ‘Creating and Nurturing Industrial Revolution 4.0 Champions’.
Invest Selangor Bhd berkata pada tahun ini, penceramah akan memberikan pendapat dan nasihat pakar mengenai isu-isu utama yang memberi kesan kepada negara anggota ASEAN dalam senario ekonomi pasca pandemik COVID-19, dan bagaimana untuk mengekalkan pertumbuhan melalui inovasi.
Dalam satu kenyataan, agensi kerajaan negeri itu berkata pandemik COVID-19 adalah masa yang diuji ketika ‘siapa yang paling kuat selamat' menjadi norma baharu dan hanya yang inovatif akan bertahan dalam krisis yang luar biasa ini.
“Normal baharu ini menyarankan inovasi bukan sahaja untuk kelangsungan hidup tetapi untuk terus berkembang dan mampu mengekalkan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Siri webinar dan persidangan satu hari diwujudkan dengan pertumbuhan yang mampan dalam fikiran, dan ASEAN sebagai pasaran,” katanya.
Bertemakan ‘Mengekalkan Pertumbuhan dalam ASEAN melalui Inovasi’ (Sustaining Growth within ASEAN through Innovation), SABC tahun ini akan dijalankan secara dalam talian melalui siri webinar dan persidangan hibrid sepenuh hari.
Tiga siri webinar akan diadakan -- siri pertama hari ini (4 Mei), yang kedua pada Ogos dan yang terakhir pada November.
Siri pertama menampilkan penceramah terkemuka seperti Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petra Datuk Dr Vinod Sekhar, Presiden Institusi Jurutera Indonesia (PII) Heru Dewanto dan penasihat perniagaan PT Awina Sinergi International (Indonesia) Dr Ichsan Ichsan membincangkan bagaimana pandemik COVID-19 telah membawa kepada transformasi digital organisasi.
“Perniagaan yang lebih mudah menerima IR4.0 akan mempunyai daya tahan dan kemampuan yang lebih tinggi untuk mempercepatkan pemulihan mereka dalam menghadapi kesukaran,” menurut Invest Selangor.
Webinar seterusnya pada Julai akan menyentuh kebaikan dan keburukan menguruskan tenaga kerja yang tercicir dan membincangkan tentang tenaga kerja dan tempat kerja masa depan serta pelan kesinambungan perniagaan dalam normal baharu dan sekiranya berlaku sebarang bencana seperti pandemik.
Sementara itu, webinar ketiga akan memberi tumpuan khusus kepada isu-isu yang mempengaruhi perusahaan kecil dan sederhana.
Siri itu akan membincangkan tentang ‘Staying Local and Going Global’, dengan memberi tumpuan kepada strategi untuk mengembangkan perniagaan di peringkat global dengan modal dan sumber minimum.
Bagi pendaftaran, boleh lawati https://bit.ly/32LxhGa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial