EKONOMI

Lazada buat tawaran luar biasa menerusi Jualan 5.5 ‘Lazada Ada Sentuhan Raya'

04/05/2021 11:28 AM

KUALA LUMPUR, 4 Mei  -- Platform e-dagang terkemuka, Lazada Malaysia membuat tawaran luar biasa sebagai sebahagian Jualan 5.5 ‘Lazada Ada Sentuhan Raya’.

Selain menjanjikan pelbagai manfaat seperti baucar Lazada Wallet dan pulangan tunai, terdapat juga peluang untuk memenangi iPhone 12 dan jualan pada harga serendah RM0.99 sepanjang ‘Crazy Flash Sale’.

Dalam kenyataan, Lazada menjelaskan para pembeli boleh menjimatkan RM10 untuk setiap RM100 yang dibelanjakan dengan Lazada Bonus, selain menerima kemudahan penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum RM5.

Ketua Trafik, Susan Too berkata Jualan 5.5 ‘Lazada Ada Sentuhan Raya’ menjanjikan jaminan harga terendah, baucar menarik dan penghantaran percuma untuk membawakan pengalaman beli-belah premium bagi pengguna ketika mereka membuat persiapan untuk menyambut Syawal dalam situasi pandemik.

“Kempen jualan ini juga menyediakan platform kepada peniaga untuk meluaskan capaian kepada pelanggan dan menjamin kestabilan kewangan mereka, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa yang amat mencabar ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Bagi menambah keseronokan, para pembeli boleh menetapkan penggera dan menghitung detik menjelang ‘Crazy Flash Sale’ yang menawarkan pelbagai barangan terpilih termasuk barangan elektronik, produk penjagaan kulit, kelengkapan rumah dan baju raya, dengan produk terdiskaun pada harga serendah RM0.99.

Selain itu, Lazada menjelaskan terdapat pelbagai diskaun eksklusif daripada jenama-jenama turut serta seperti Realme, Carlo Rino, Signature Market, Apple, dan banyak lagi.

Platform e-dagang itu juga akan memberikan diskaun tambahan khas kepada pengguna Lazada Wallet untuk membantu pelanggan memanfaatkan sepenuhnya setiap ringgit bagi Aidilfitri ini termasuk potongan serta-merta RM0.15 bagi setiap pesanan pada waktu biasa pada 5 Mei, 2021.

Pengguna juga berpeluang menikmati potongan serta-merta RM0.55 bagi setiap pesanan dari jam 12 tengah hari hingga 2 petang 5 Mei, 2021 selain diskaun 55 peratus dengan Baucar Ganjaran Ahli Lazada Wallet tanpa sebarang perbelanjaan minimum (terhad kepada RM5).

Pembeli juga akan menerima baucar apabila membuat pembelian menggunakan khidmat e-dompet yang turut serta iaitu Touch ‘n Go dengan potongan RM5 dengan perbelanjaan minimum RM30 dan Boost untuk potongan RM9 dengan perbelanjaan minimum RM80.

Pengguna Maybank juga boleh menikmati rebat RM5 apabila mereka menambah nilai RM50 dan menghubungkan akaun bank Maybank2u kepada Lazada untuk pembayaran satu klik selain Lazada x Kad Citibank bagi potongan RM22 dengan perbelanjaan minimum RM100 (tempoh kutipan 3-5 Mei), menurut Lazada.

Di samping itu, Lazat Bazaar, pesta makanan dalam talian Lazada, yang diadakan sepanjang Ramadan, masih diteruskan sehingga 12 Mei untuk membolehkan rakyat Malaysia menikmati juadah berbuka puasa kegemaran yang disediakan peniaga kecil tempatan di bazar Ramadan.

Lazada menjelaskan pelanggan boleh menikmati penghantaran pada hari yang sama bagi pesanan makanan panas dan produk bakeri segar seperti martabak, lemang, rendang, laksa, ‘roti john’ dan nasi kerabu dari gerai dan peniaga tempatan kegemaran mereka di seluruh Lembah Klang.

Too berkata tumpuan utama Lazada adalah memperkasa usahawan dan memberikan sokongan untuk meningkatkan jualan mereka.

“Lazada juga menggalakkan penghijrahan digital peniaga-peniaga kecil tempatan kepada pasaran dalam talian.

“Oleh yang demikian, kempen seperti ini membolehkan peniaga kami menjual produk mereka dengan tawaran menarik dan harga serendah yang mungkin agar pengguna boleh membuat persiapan menyambut hari raya yang akan menjelma dalam keadaan selesa rumah sendiri,” katanya.

Sempena Ramadan, Lazada juga berganding bahu dengan Berkat Madinah, pembekal makanan Arab dalam talian, untuk menyokong usaha Islamic Relief Malaysia mengedarkan 12,000 bungkusan makanan kepada masyarakat yang memerlukan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan