AM

Aplikasi WFW platform pekerja suarakan aduan, masalah perburuhan

03/05/2021 10:58 PM

PUTRAJAYA, 3 Mei -- Kementerian Sumber Manusia (KSM) melancarkan aplikasi Working for Workers (WFW) yang akan menjadi platform kepada 15.7 juta pekerja termasuk warga asing mengemukakan aduan dan permasalahan berkaitan isu perburuhan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan, yang memberi jaminan bahawa identiti pengadu akan dirahsiakan, berkata aduan yang diterima akan diambil tindakan antara tiga dan tujuh hari manakala status pelaporan akan dipantau oleh pengurusan tertinggi kementerian termasuk beliau sendiri dan timbalannya, Datuk Awang Hashim.

"WFW menjadi medium bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja yang terkesan akibat salah laku majikan terbela dan tidak berulang.

“Ini secara tidak langsung dapat memastikan majikan dan pekerja patuh kepada undang-undang perburuhan negara," katanya kepada media selepas melancarkan aplikasi itu sempena Hari Pekerja di sini hari ini.

Beliau berkata imej negara tercalar di peringkat antarabangsa ekoran tindakan sesetengah pihak industri yang tidak bertanggungjawab dan aplikasi WFW adalah testimoni bahawa kerajaan Malaysia, khususnya KSM, memandang serius serta telus dalam mengendalikan isu perburuhan.

Aplikasi itu membolehkan pekerja melaporkan 14 jenis aduan secara dalam talian yang dikendalikan 80 Pejabat Tenaga Kerja di seluruh negara.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan