DUNIA

Pemberontak tembak jatuh helikopter tentera Myanmar

03/05/2021 08:37 PM

ANKARA, May 3 -- Kumpulan pemberontak, Tentera Pembebasan Kachin mendakwa menembak jatuh helikopter tentera Myanmar pada Isnin, ketika bantahan berterusan terhadap junta yang merampas kuasa.

Jurucakap kumpulan pemberontak terkuat di negeri bersempadan dengan China itu berkata insiden berlaku semasa tentera Myanmar (Tatmadaw) melancarkan serangan udara.

"Beberapa hari lalu Tatmadaw melancarkan serangan udara, tetapi hari ini serangan membabitkan tiga jet pejuang dan helikopter. Kami menembak jatuh helikopter pada sekitar 10 pagi (0330GMT) hari ini," kata seorang pegawai maklumat kumpulan pemberontak Kol Naw Naw Bu, lapor Anadolu.

Beliau enggan mendedahkan jenis senjata yang digunakan untuk menembak jatuh helikopter tentera itu.

Pegawai itu mendakwa serangan udara pada Isnin itu menyasarkan bukit Alaw Bun di perbandaran Moemauk berhampiran sempadan Myanmar-China di Kachin yang dianggap penting oleh kedua-dua pihak untuk menguatkan kedudukan mereka di wilayah berhampiran.

"Helikopter itu terkena peluru berpandu FN-6 yang dilancarkan oleh pejuang Kachin. Ia terbakar di udara dan terhempas berdekatan sebuah kampung," kata seorang pelajar perubatan dari Yangon ketika dihubungi Anadolu pada Isnin.

Pelajar perubatan itu berada di Kachin untuk menjalani latihan tempur dan kebetulan menyaksikan kejadian itu.

Pihak tentera belum membuat sebarang kenyataan mengenai kejadian itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan