KUALA LUMPUR, 3 Mei -- United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) melaporkan keuntungan bersih RM1.02 bilion pada 2020, menyusut 16.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut bank berkenaan, keuntungan bersih yang rendah ini adalah berikutan langkah proaktif bank untuk melakukan peruntukan awalan ke atas aset akibat ketidakpastian yang timbul daripada kesan ekonomi susulan pandemik COVID-19.
Keuntungan bank juga terjejas apabila pertumbuhan dalam pendapatan operasi sebahagiannya telah diimbangi oleh kenaikan peruntukan daripada peruntukan awalan yang dilakukan untuk jangkaan kerugian kredit bagi aset terjejas dan tidak terjejas.
Peruntukan yang dilakukan ini adalah RM356.1 juta lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, sebahagian besarnya untuk jangkaan kerugian yang dikategorikan sebagai Tahap 1 (dalam tempoh 12 bulan akan datang) dan Tahap 2 (tempoh masa tidak tentu) ke atas portfolio pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan.
Bagaimanapun, bank mengekalkan kualiti aset yang kukuh dengan nisbah pinjaman tidak berbayar bersih kekal pada 1.4 peratus sementara pendapatan operasi mencatat peningkatan 3.7 peratus tahun ke tahun kepada RM3.21 bilion pada 2020, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pendapatan operasi UOB Malaysia yang lebih tinggi disebabkan oleh pertumbuhan 5.7 peratus dalam pendapatan faedah bersih kepada RM2.20 bilion, didorong oleh pengurusan penyata imbangan yang proaktif.
Bagaimanapun, kenaikan dalam pendapatan faedah bersih sebahagiannya diimbangi oleh kesan penurunan Kadar Dasar Semalaman ke paras terendah sebanyak 1.75 peratus antara 22 Jan dan 7 Julai 2020.
Walaupun pendapatan perdagangan dan pelaburan untuk tahun ini telah meningkat, pendapatan fi yang lebih rendah serta keuntungan dalam pertukaran asing bersih membawa kepada penurunan dalam pendapatan bukan faedah sebanyak 3.5 peratus kepada RM938.8 juta.
UOB Malaysia berkata ia terus mengekalkan asas modal yang kukuh dengan nisbah Tahap 1 Ekuiti Bersama dan Jumlah Modal, masing-masing pada 17.6 peratus dan 20.5 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Wong Kim Choong berkata UOB Malaysia tetap fokus pada keutamaan strategiknya, iaitu memanfaatkan pemacu pertumbuhan serantau dan mengukuhkan infrastruktur teknologi untuk mendorong inovasi dan prestasi.
Beliau menambah bank juga kekal teguh dalam menyokong pelanggan terjejas dalam menangani cabaran kewangan.
Selain langkah-langkah bantuan COVID-19 termasuk moratorium pinjaman untuk pelanggan perniagaan dan individu, bank turut aktif membantu pelanggan menguruskan kesejahteraan kewangan mereka, jelas Wong.
Justeru, beliau berkata UOB Malaysia telah melanjutkan lagi bantuan pembayaran balik yang disasarkan sehingga 30 Jun, 2021 bagi membantu pelanggan muncul lebih kuat daripada krisis yang dialami.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial