KANGAR, 2 Mei -- Berpantang maut sebelum ajal, perumpamaan tepat bagi seorang suri rumah yang terselamat daripada kemalangan jalan raya dan kehilangan kaki kanannya yang hancur digilis lori empat tahun lalu.
Kasni Kamis, 42, dari Kampung Behor Inai berkata sebagai seorang yang dilahirkan normal, beliau tidak pernah terlintas di fikirannya hidup sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda.
Apa yang menyedihkan kerusi roda yang digunakan sejak tiga tahun lalu telah berkarat dan rodanya telah haus.
"Saya juga pernah jatuh kerusi roda ketika mahu ke bilik air kerana tempat letak kakinya sudah tidak stabil. Alhamdulillah kerusi roda baharu ihsan Yayasan Kebajikan Perlis (YKP) ini memberi sinar baharu buat saya setelah tiga tahun mengunakan kerusi roda yang telah uzur," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis Iftar Kasih Sayang (YKP) di Hotel Putra Regency di sini malam tadi.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif YKP Affandi Rajini Kanht menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada Kasni serta sumbangan pek hadiah raya dan duit raya kepada 100 jemputan terdiri daripada golongan asnaf dan anak-anak yatim.
Mengimbau kembali tragedi hitam itu, Kasni berkata ketika kejadian beliau sedang sarat mengandung tujuh bulan dan dalam perjalanan menghadiri majlis kenduri kahwin saudaranya, menunggang motosikal.
"Biarpun perit, saya tetap bersyukur ketika kejadian hanya kaki kanan saya sahaja digilis lori, bukan saya bersama anak dalam kandungan...Motosikal telah menghempap perut saya sebagai penghadang kandungan saya dan anak saya selamat.
"Kadang-kadang saya terlupa saya sudah tiada kaki, apabila mengambil wuduk saya tercari kaki kanan..malah anak bongsu saya yang dalam kandungan semasa kejadian, telah berusia empat tahun mula bertanyakan di mama kaki mama," kata ibu kepada empat anak itu.
Sementara itu anak yatim piatu, Luziehadi Abdul Rahman, 10, meluahkan rasa gembira dapat pertama kali menikmati sajian istimewa di hotel untuk majlis Iftar Kasih Sayang itu.
Luziehadi yang tinggal bersama nenek, Che Mah Murad, 69, yang dipanggil sebagai Tok, di Taman Koperasi di sini sejak kecil berkata beliau sangat menggemari nasi dan ayam masak kicap.
"Kebiasaannya Tok selalu masak nasi goreng di rumah...Hari ini saya rasa sangat gembira dapat rasa kelainan masakan di hotel dan rasanya sangat sedap sama seperti Tok masak," katanya.
Anak yatim piatu itu kehilangan ibu bapanya dalam kemalangan jalan raya sejak usianya lima bulan, dan dia kini dipelihara neneknya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial