AM

Galas jawatan dalam IPC bolehkan Malaysia teroka pasaran baharu lada

01/05/2021 02:51 PM

PONTIAN, 1 Mei  -- Malaysia dijangka dapat menerokai peluang pasaran baharu untuk sektor komoditi lada berikutan pengambilalihan jawatan penting dalam Komuniti Lada Antarabangsa (IPC).

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata pengambilalihan itu turut akan membolehkan Malaysia memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik bersama negara-negara anggota IPC.

“Apabila kita (Malaysia) menjadi Pengarah Eksekutif, kita boleh buat perancangan dan kebaikan dalam menentukan polisi serta membawa manfaat kepada negara...sudah tentu juga kita dapat terokai pasaran baharu dan pada masa sama mengeratkan hubungan diplomasi dengan semua negara yang kita dekati.

“Ini juga cara terbaik untuk kita promosi dan bawa kebaikan untuk sektor ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Program Prihatin Rakyat Parlimen Tanjung Piai di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas peranan terbaharu Malaysia yang akan menerajui IPC menerusi jawatan Pengarah Eksekutif untuk tempoh tiga tahun bermula 5 Mei ini bagi mengantikan Vietnam.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam satu kenyataan pada Khamis lepas memberitahu keputusan memilih pegawai kementerian Firna Azura Ekaputri Marzuki sebagai Pengarah Eksekutif IPC yang baharu secara pinjaman untuk tempoh berkenaan, telah dipersetujui oleh semua Ketua Perwakilan IPC negara anggota.

IPC yang ditubuhkan pada 1972 di bawah naungan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP) dianggotai lima negara iaitu India, Indonesia, Malaysia, Sri Lanka dan Vietnam manakala Papua New Guinea dan Filipina merupakan ahli-ahli bersekutu.

Dalam pada itu, Program Prihatin Rakyat Parlimen Tanjung Piai menyaksikan sebanyak 160 helai jubah disumbangkan kepada imam dan pembantu imam dari 42 masjid dan 74 surau dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan