AM

LLSM dapat selesaikan pertikaian isu air antara Pulau Pinang, Kedah - WWP

30/04/2021 08:46 PM

GEORGE TOWN, 30 April -- Water Watch Penang (WWP) menyokong inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menubuhkan Lembaga Lembangan Sungai Muda (LLSM) bagi menyelesaikan pertikaian air antara kerajaan Pulau Pinang dan Kedah.

Presiden WWP Prof Dr Chan Ngai Weng berkata cadangan pembentukan LLSM itu dapat menyelesaikan pertikaian dengan cara terbaik dan adil mengenai sumber air Sungai Muda antara kedua-dua negeri berkenaan.

Katanya, pertelingkahan antara kedua-dua kerajaan negeri baru-baru ini dalam isu pemilikan sumber air sungai dan pembayaran untuk sumber air telah menjadi semakin tegang dan masih belum dapat diselesaikan.

"Sebetulnya, apabila kes melibatkan lembangan sungai dikongsi oleh dua negeri, maka Kerajaan Persekutuan perlu memainkan peranan sebagai orang tengah untuk berunding dan menyelesaikan isu pengurusan lembangan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata WWP menyokong penuh pembentukan (LLSM) seperti yang dicadangkan mereka pada 26 Mac lepas.

Menurutnya, LLSM perlu bertindak bukan sahaja sebagai wakil kerajaan Pusat dan kedua-dua negeri berkenaan, malah sebagai wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat Persekutuan dan kedua-dua negeri berkenaan.

"Sebagai sebuah NGO yang menangani masalah air di negara ini, WWP dengan rela hati sedia untuk menyumbang kepakaran dan tenaga, jika dipelawa menyertai LLSM," katanya.

Beliau juga menzahirkan harapan agar semua perselisihan antara kedua-dua negeri itu akan dapat diselesaikan dan mencapai persetujuan dalam menyelesaikan masalah serta pembahagian sumber demi manfaat bersama-sama.

Terdahulu, Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Dr Zaini Ujang mencadangkan pembentukan LLSM untuk menyelesaikan pertikaian sumber air Sungai Muda antara kerajaan Kedah dan Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan