KUALA TERENGGANU, 30 April -- Terengganu FC (TFC) tidak memandang mudah lawan mereka Penang FC pada perlawanan Liga Super malam esok biarpun mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.
Pengendali skuad Penyu Nafuzi Zain mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada menghadapi pasukan Harimau Kumbang yang dianggap antara pasukan terbaik musim ini.
“Kita tetap kena berwaspada kerana main di tempat sendiri bukanlah jaminan kita akan memang. Sebelum ini pun banyak kemenangan kita raih di tempat luar berbanding tempat sendiri.
“Tetapi persiapan kita untuk malam esok sama sahaja seperti persiapan yang kita buat menghadapi pasukan lain sebelum ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Nafuzi turut berasa lega kerana kesemua pemainnya kini bebas daripada kecederaan berkata senarai kesebelasan utama yang akan diturunkan menentang pasukan bimbingan Tomas Trucha itu ditentukan selepas selesai latihan terakhir esok.
TFC yang masih segar dengan kejayaan menjadi pasukan pertama musim ini menewaskan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, 1-0 pada Sabtu lepas bakal menentang skuad Harimau Kumbang pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial