EKONOMI

Pos Malaysia akan teruskan momentum positif yang dicatatkan pada suku ketiga 2020

30/04/2021 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 30 April -- Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) akan fokus untuk meneruskan momentum positif yang dicatatkan pada suku ketiga bagi tahun kewangan 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata waktu puncaknya adalah pada April 2020 apabila Pos Malaysia mencatatkan sebanyak 13 juta bungkusan, jumlah tertinggi yang pernah diterima dalam sejarah.

"Kami mempunyai hampir 1.400 penghantar (bekerja secara bebas) untuk menyokong 3,000 kakitangan penghantaran kurier kami, termasuk pekerja ibu pejabat dan posmen yang juga membantu dalam pengiriman bungkusan," katanya dalam Laporan Tahunan Pos Malaysia Tahun 2020.

Syed Md Najib berkata kenaikan aktiviti berbelanja dalam talian meningkatkan permintaan untuk perkhidmatan kurier dan pendapatan Pos Malaysa melonjak secara signifikan pada suku kedua dan ketiga bagi tahun kewangan 2020.

"Setelah gelombang pertama pandemik COVID-19 dapat dikawal dan perniagaan dibuka semula, segmen yang pada awalnya dipengaruhi oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan pemulihan berlaku dengan pantas.

"Kenaikan tarif mel yang berlaku pada 1 Februari, 2020 juga memberikan peningkatan yang signifikan bagi hasil kasar kami, tambahan RM150 juta kepada pendapatan untuk untuk tahun 2020," katanya.

Pos Malaysia juga mencatatkan keuntungan operasi dua bulan pada bulan Jun dan Julai tahun lalu.

Selain itu, operasi kurier kembali kepada kedudukan normal, membolehkan Pos Malaysia menguasai kembali bahagian pasaran dalam segmen e-dagang.

"Kami akan terus meningkatkan rangkaian pengiriman bungkusan kami dan terus memanfaatkan penggunaan automasi.

"Kami mensasarkan untuk mempercepatkan digitalisasi perkhidmatan runcit kami dan pada masa yang sama Pos Malaysia merasionalisasikan ‘touchpoints’ pos dan pusat pemprosesan kami, mengubah infrastruktur dan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi kami," katanya.

Sementara itu, Pos Aviation akan terus berhati-hati dalam menguruskan kos, sementara Pos Logistics akan meneruskan inisiatif transformasinya dengan mengurangi operasi pengangkutan, mengembangkan logistik automotif serta meningkatkan kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatannya.

"Segmen logistik kami seharusnya mendapat manfaat daripada pengecualian cukai jualan ke atas kereta sehingga Jun 2021 oleh kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan