EKONOMI

Fajarbaru yakin dengan unjuran segmen hartanah

30/04/2021 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 30 April  -- Jangkaan pemulihan ekonomi yang disokong dengan proses imunisasi COVID-19 kebangsaan menyebabkan syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah Fajarbaru Builder Group Bhd yakin dengan prospek segmen hartanahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Eric Kuan Khian Leng dalam satu kenyataan berkata ia juga mahu melancarkan projek hartanah baharu menjelang separuh kedua tahun ini jika keadaan pasaran bertambah baik seperti pembangunan kondominium Rica Residence @ Kinrara.

Fajarbaru Builder juga mempunyai kepentingan pembangunan hartanah di Australia. 

Sekarang ini, ia sedang membangunkan projek ketiganya, yang terdiri daripada 15 rumah dua tingkat di Merri Creek, Northcote, Melbourne.

Kuan ketika bercakap mengenai prospek menjelaskan Fajarbaru sedang berusaha  untuk memperluaskan jejak pembangunan hartanah tempatannya bukan sahaja di Lembah Klang, tetapi juga ke Pulau Pinang dan Putrajaya sebaik sahaja ekonomi dibuka semula sepenuhnya.

''Bagi projek-projek di lokasi utama, pembangunan hartanah bertanah mewah akan berdaya maju tetapi permintaan pasaran terhdap perumahan mampu milik dan keluarga yang ingin naik taraf tidak boleh diabaikan.

''Kumpulan akan terus meneroka simpanan tanah di lokasi yang boleh menjana pendapatan dan mencari usaha sama yang berpotensi untuk membangunkan hartanah di Malaysia serta Australia,'' katanya. 

Tambah beliau, kumpulan itu optimis terhadap prospek pertumbuhan segmen pembangunan hartanahnya pada 2021 dan seterusnya, sejajar dengan jangkaan pemulihan pasaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan