EKONOMI

Usahawan informal digalak mohon SPIN segera

30/04/2021 07:56 AM

MELAKA, 30 April --  Usahawan kecil atau informal yang berdepan masalah mendapatkan modal kerana belum membuat pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mana-mana badan profesional atau lesen pihak berkuasa tempatan digalakkkan memohon segera Skim Pembiayaan Informal (SPIN). 

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata skim di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional itu akan memberi pembiayaan maksimum sebanyak RM5,000. 

"Pemohon hanya perlu menyertakan salinan kad pengenalan, salinan akaun bank sebulan dan bil utiliti. 

"Sangat mudah dan permohonan ini akan diproses kurang daripada tujuh hari,' katanya kepada pemberita selepas hadir di majlis berbuka puasa bersama media di sini semalam. 

Katanya, data kementerian pada 2019 merekodkan terdapat lebih kurang 1.2 juta usahawan informal tidak berdaftar berbanding 900,000 orang yang berdaftar. 

Ini jelasnya menyukarkan agensi berkaitan untuk melaksanakan sebarang program atau menyalurkan bantuan yang diperlukan. 

"Apabila kita berikan bantuan melalui geran khas PRIHATIN ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada gelombang pertama, hanya mereka yang berdaftar di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau SSM sahaja yang dapat . 

"Tapi sektor informal ini kita tidak nampak, yang sebenarnya jumlah mereka sangat besar terutama dalam sektor perkhidmatan," katanya. 

Beliau berkata setakat suku pertama 2021, sebanyak RM12.9 juta telah diagihkan kepada 2,154 pemohon dan masih ada hampir RM38 juta lagi berbaki daripada peruntukan keseluruhan bagi tahun ini iaitu RM50 juta.

"Ini antara usaha kita bantu usahawan informal untuk mereka dapat sama-sama bangun.

"Mereka ini kadang-kadang tidak pinjam banyak pun, sekadar RM1,000 atau RM2,000 untuk beli peralatan atau membaik pulih gerai. Jadi, modal pusingan yang mereka hendak pakai pun tidak banyak dan sebab itu kita bagi sampai RM5,000," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan