SUKAN

ASTAF gantung sementara PSM daripada aktiviti sepak takraw

28/04/2021 09:50 PM

KUALA LUMPUR, 28 April  -- Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menggantung sementara Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) daripada sebarang aktiviti berkaitan sukan itu.

ASTAF dalam satu kenyataan memaklumkan penggantungan itu, sehingga perbicaraan diadakan, telah diserahkan kepada PSM berikutan kenyataan presiden persatuan itu Datuk Seri Ahmad Ismail mengenai pemilihan badan pentadbir sepak takraw Asia pada 1 Mac lepas.

“Tindakan presiden dan/atau kata-kata bertulis telah menjadikan permainan sepak takraw yang sepatutnya dipromosikannya, mendapat nama buruk. Jawatankuasa Eksekutif ASTAF telah sebulat suara mengundi untuk meneruskan prosiding tatatertib terhadap PSM kerana melanggar perjanjian,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, selepas Jawatankuasa Tatatertib ASTAF menerima jawapan bertulis daripada PSM, ia akan mengadakan perbicaraan dan PSM perlu menunjukkan sebab mengapa ia tidak boleh dikeluarkan daripada ASTAF dan/atau menghadapi sekatan lain.

Jika didapati bersalah, PSM boleh dikenakan mana-mana hukuman berikut - menentukan tempoh penggantungan, penyingkiran, denda, hukuman gabungan atau tetap - kerana ini bukan kesalahan pertama yang dilakukan PSM dan Ahmad.

Kenyataan itu menambah, pada 14 Mac 2008, PSM berjanji kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) untuk mematuhi objektif ISTAF dan perlembagaan ASTAF; menyokong ISTAF dan ASTAF dalam pelbagai objektif.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan