DUNIA

Permohonan biasiswa tajaan Jepun MEXT 2022 dibuka untuk pelajar Malaysia

28/04/2021 05:07 PM

KUALA LUMPUR, 28 April  -- Permohonan biasiswa tajaan Kerajaan Jepun (Monbukagakusho: MEXT) bagi tahun akademik 2022 kini dibuka sehingga 28 Mei (sebelum 4 petang) kepada warganegara Malaysia yang berminat melanjutkan pelajaran ke Jepun.

Kedutaan Besar Jepun di Malaysia mengatakan biasiswa itu menawarkan elaun bulanan kira-kira 117,000 yen (RM4,400) untuk penuntut  Sarjana Muda (jumlahnya tertakluk kepada perubahan).

“Tidak termasuk yuran untuk peperiksaan kemasukan universiti, matrikulasi dan tuisyen di universiti. Tiket penerbangan pergi dan balik juga disediakan,” kata kedutaan dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagi permohonan biasiswa Program Sarjana Muda untuk tempoh lima hingga tujuh tahun yang bermula April 2021, pemohon mestilah berumur antara 17 hingga 25 tahun pada 1 April 2021.

Menurut kenyataan itu pemohon mestilah menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan sekurang-kurangnya melalui 11 tahun pendidikan formal. Mereka yang telah menamatkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Unified Examination Certificate (UEC), Matrikulasi atau Diploma juga boleh memohon.

"Pemohon mesti menguasai bahasa Inggeris atau Jepun dengan keputusan yang baik dalam mata pelajaran utama yang lain," katanya.

Borang dan garis panduan permohonan boleh dicetak dari laman web Kedutaan Jepun di www.my.emb-japan.go.jp.

Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh melayari laman web Kedutaan Jepun atau menghubungi kedutaan di 03-2177-2600 (samb. 146 untuk sarjana muda) atau e-mel ke edu@kl.mofa.go.jp.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan