KANGAR, 27 April -- Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai penggunaan vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca.
Beliau berkata perbincangan lanjut perlu selepas mengambil kira kegusaran rakyat mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin AstraZeneca yang akan digunakan dalam program imunisasi.
“Saya akan umumkan sesuatu esok dan petang ini saya akan adakan perbincangan dengan Dr Adham setelah mengambil kira kegusaran rakyat yang bercakap tentangnya di media sosial semalam dan ada antara mereka telah mula takut untuk menerima vaksin,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Wawasan 2020 dekat sini hari ini.
Beliau berkata walaupun terdapat data, sains dan pelbagai lagi yang membuktikan vaksin AstraZeneca selamat diguna pakai namun kebimbangan rakyat terhadap vaksin tersebut turut diambil kira.
“Saya perlu mengambil kira pandangan rakyat yang gusar, kita tidak mahu vaksin ini menggugat program imunisasi,” katanya.
Semalam, Dr Adham berkata vaksin AstraZeneca adalah selamat dan akan digunakan dalam proses vaksinasi golongan berusia 60 tahun ke atas dalam Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telah bermula pada 19 April lepas untuk golongan warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial