SUKAN

Penyerang muda Myanmar sertai Sri Pahang FC?

27/04/2021 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 27 April -- Sri Pahang FC dijangka melakukan rombakan pasukan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) dalam usaha menyelamatkan diri daripada tersingkir ke Liga Premier musim depan.

Skuad Tok Gajah mengharungi kempen yang sukar serta bergelut mencapai prestasi terbaik apabila hanya mencatatkan satu kemenangan dalam 10 aksi Liga Super, sekali gus berada dalam zon penyingkiran di kedudukan kedua tercorot liga dengan mengutip lima mata.

Menjelang tempoh pendaftaran kedua Liga-M bermula 3 hingga 30 Mei ini, beberapa pemain import sedia ada dijangka meninggalkan Sri Pahang FC sementara terdapat nama baharu mula dikaitkan akan menyertai pasukan itu antaranya penyerang skuad Bawah 23 (B-23) Myanmar Aung Kaung Mann.

Menerusi media sosial penjaring terbanyak skuad Myanmar di Sukan SEA 2019 itu yang kini berada di Kuala Lumpur, beliau mengakui akan menyertai Sri Pahang FC dalam masa terdekat, namun pengurusan kelab berkenaan belum bersedia mengulas perkembangan tersebut.

"Kita tidak tolak ada perubahan pemain dalam pasukan, namun fokus kepada perlawanan minggu ini menentang UiTM FC di Kuantan, tiada pilihan lain kecuali mengutip tiga mata penuh.

"Melihat kepada setiap persembahan dan keputusan permainan Sri Pahang FC sebelum ini, sememangnya kita menuntut satu rombakan kepada pasukan," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC Datuk Mohammed Suffian Awang kepada Bernama, hari ini.

Aung Kaung adalah pemain pasukan Myanmar Ayeyawady United FC yang dipinjamkan ke Khon Kaen United yang beraksi dalam Liga 2 Thailand musim ini dan telah menjaringkan lima gol dalam 16 penampilannya, demikian menurut laman https://www.transfermarkt.com/.

Kekalahan ketiga berturut-turut dicatat Sri Pahang FC baru-baru ini menyaksikan pasukan itu mengharungi enam perlawanan tanpa sebarang kemenangan sejak menewaskan Sabah FC 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada pertengahan Mac lepas.

Skuad bimbingan ketua jurulatih Dollah Salleh turut dilihat bergelut di setiap posisi apabila hanya berjaya meledak enam jaringan sementara dibolosi 18 gol selepas 10 perlawanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan