KUALA LUMPUR, 27 April -- Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS) dengan kerjasama Persatuan Inspirasi Mualaf akan mengagihkan sumbangan melalui program IKHLAS Barakah Box kepada 300 keluarga asnaf dan mualaf di sekitar Lembah Klang sempena Ramadan.
Takaful IKHLAS, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB) dalam kenyataan memaklumkan program itu melibatkan pengagihan sumbangan bekalan asas makanan seperti beras, tepung, gula, susu, bihun, mi segera dan telur kepada keluarga asnaf dan mualaf yang memerlukan serta terkesan akibat COVID-19.
Sumbangan itu akan diagihkan secara berperingkat kepada penerima terpilih di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, PPR Kota Damansara dan PPR Bukit Jalil.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Nor Azman Zainal berharap sumbangan tersebut dapat membantu dan memberikan keceriaan kepada penerima dan keluarga, selain memupuk nilai prihatin serta kasih sayang kepada masyarakat setempat.
“Melalui program IKHLAS Barakah Box, Takaful IKHLAS dapat menyalurkan sebahagian daripada dana IKHLAS Barakah House untuk membantu meringankan beban masyarakat dan komuniti setempat kerana kami percaya dalam rezeki kita ada rezeki orang lain,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Pada Ahad lepas, Nor Azman telah menyerahkan sumbangan kepada penerima terpilih di PPR Lembah Subang 1 dan majlis itu turut dihadiri Pengerusi Persatuan Inspirasi Mualaf Muhammad Roger James Arnold.
Program IKHLAS Barakah Box merupakan salah satu aktiviti di bawah IKHLAS Barakah House iaitu inisiatif pengumpulan dana patuh syariah.
Ia bertujuan menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat yang positif melalui bantuan kewangan dan aktiviti-aktiviti merangkumi penglibatan masyarakat dengan lima fokus utama iaitu pemerkasaan bidang pendidikan, ekonomi, masyarakat, kesihatan dan alam sekitar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial