KUALA LUMPUR, 27 April -- Permintaan yang amat memberangsangkan untuk sukuk kelestarian antarabangsa kedaulatan Malaysia menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kewangan mapan dan ia memberikan positif kredit kepada kerajaan, demikian menurut Moody's Investors Service.
"Peningkatan saiz terbitan yang pada asalnya hanya US$1 juta digabungkan, sebahagiannya mencerminkan minat pelabur terhadap produk berkaitan kelestarian dan patuh Syariah.
"Terbitan ini akan membuka jalan bagi penerbit Malaysia yang lain untuk memanfaatkan asas pendanaan/pembiayaan ini bagi menangani masalah alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” kata agensi penarafan itu dalam satu nota hari ini.
Pada 22 April, kerajaan telah menerbitkan dua bahagian/tranche sukuk kelestarian antarabangsa kedaulatan pertamanya, merangkumi US$800 juta bertempoh matang 10-tahun dan sukuk bertempoh matang 30-tahun US$ 500 juta.
Moody's berkata terbitan itu memberikan positif kredit kepada kerajaan kerana penambahan cara pembiayaan baharu seterusnya boleh meningkatkan risiko kecairannya yang tersedia rendah dengan mempelbagaikan asas kreditor negara dan memastikan kos pembiayaan kekal rendah rendah.
"Terbitan ini juga memperkuat kedudukan utama Malaysia dalam kewangan Islam," katanya.
Sejak menerbitkan sukuk pertama di dunia pada tahun 1990, negara telah menjadi pasaran sukuk terbesar di dunia, menyumbang 32 peratus daripada jumlah terbitan sukuk global pada 2020.
Malaysia juga merupakan salah satu daripada beberapa negara berdaulat di seluruh dunia yang mana sukuk adalah instrumen penting di mana keperluan pembiayaan defisit dipenuhi, katanya.
Moody's menilai pendedahan Malaysia ke atas risiko alam sekitar menjadi sederhana, mencerminkan pendedahan kerajaan terhadap pendapatan yang berkaitan dengan petroleum, yang menyumbang sekitar satu perlima daripada jumlah pendapatan.
Ia berkata fokus pada projek-projek sosial menyokong pandangannya bahawa pendedahan negara terhadap risiko sosial adalah neutral hingga rendah, mencerminkan demografi yang baik, akses kepada pendidikan berkualiti, perumahan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan asas serta dasar yang memenuhi keperluan kategori kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang mengurangkan ketaksamaan pendapatan.
“Kekuatan ini membantu mengimbangi masalah sosial yang mungkin timbul daripada dasar sistematik yang dirancang untuk mempromosikan kepentingan ekonomi majoriti etnik Melayu (Bumiputera), termasuk penggunaan kuota dalam kemasukan universiti, pengambilan perkhidmatan awam, perumahan dan bidang lain," katanya.
Moody's berpendapat minat yang memberangsangkan terhadap sukuk kelestarian antarabangsa yang menyaksikan hasil yang relatif rendah iaitu 2.070 peratus untuk pensijilan amanah bertempoh 10 tahun dan 3.075 peratus untuk 30 tahun semasa dikeluarkan, juga menunjukkan kemampuan Malaysia untuk mengakses pasaran pembiayaan dalam mata wang rizab.
Ini melengkapkan aksesnya ke pasaran modal domestik yang lebih mendalam, menyokong penilaian agensi penarafan terhadap risiko kecairan rendah kerajaan walaupun keperluan pembiayaan meningkat kerana defisit fiskal yang lebih luas.
"Kami mengunjurkan defisit fiskal kerajaan sekitar 6.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar pada 2021, mengecil kepada kira-kira 5.0 peratus pada 2022-23, tetapi masih lebih luas berbanding defisit sekitar 3.0 peratus dan 4.0 peratus sebelum pandemik,” tambahnya.
Moody's menambah bahawa selain memperluas pilihan pembiayaannya, terbitan kerajaan juga menetapkan penanda aras bagi penerbit Malaysia lain yang ingin memanfaatkan pelabur antarabangsa untuk produk ESG.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial