AM

Pengusaha pasar mini didakwa bunuh wanita dalam kemalangan 

27/04/2021 12:19 PM

MUAR, 27 April -- Seorang pengusaha pasar mini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita dalam satu kemalangan di Bandar Muar, dua hari lalu.

Bagaimanapun, Gui Chui, 69, sekadar mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Zuraidah Abu Bakar.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Gui yang menetap di Taman Parit Bakar, di sini, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Norain Abu Samah, 41, di lampu isyarat Bypass Temenggong Ahmad Jalan Pintasan Bandar Muar pada 7.45 pagi, 25 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Putera Amirool Faez Suhasi manakala tertuduh diwakili peguam, RK Balakrishnan.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 25 Mei ini untuk serahan laporan bedah siasat mangsa, laporan kimia dan laporan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Pada Ahad lalu, media melaporkan seorang wanita maut manakala anak perempuannya cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta Toyota Hilux di persimpangan Jalan Temenggong Ahmad dekat Parit Keroma di sini.

Rakaman video kemalangan tersebut yang berdurasi 23 saat turut tular di media sosial.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan