AM

Langsir raya jahitan jejaka kembar seiras

27/04/2021 02:37 PM

Oleh Nur Rafiqah Mohamad Razi & Nursyafiqah Ahmad Radhuan

KOTA BHARU, 27 April -- Kerjaya sebagai tukang jahit biasanya didominasi oleh kaum wanita, namun bagi pasangan kembar seiras Azahariduan Jusoh dan Muhammad Azaharudin Jusoh, 28, peralatan menjahit menjadi alat permainan mereka sejak 13 tahun lalu.

Malah sejak awal Ramadan, pasangan kembar yang memiliki kedai jahitan di Kampung Dewan Beta ini bertungkus lumus menyiapkan tempahan langsir milik pelanggan untuk sambutan Aidilfitri nanti.

Bercakap kepada Bernama, Azahariduan berkata dua tempahan langsir sudah disiapkan dan kini sedang dalam proses menyiapkan empat lagi tempahan.

“Kami bergabung tenaga untuk menyiapkan setiap satu tempahan langsir, proses ini mengambil masa kira-kira lima hari untuk diselesaikan,” kata anak bongsu daripada empat beradik ini. 

Bercerita lanjut, Azahariduan berkata biarpun langsir pasang siap mudah didapati di pasaran, masih ada pelanggan yang inginkan langsir yang ditempah khas.

“Masih ada lagi yang memilih untuk menempah langsir kerana mengikut cita rasa masing-masing. Kalau beli, pilihan warna mungkin tidak menepati cita rasa selain ukurannya juga adalah terhad,” katanya yang juga mahir mengubah suai baju kurung, baju Melayu dan pakaian seragam. 

Ditanya mengenai perjalanan kerjaya sebagai tukang jahit, Azahariduan berkata mereka bermula dengan mengubah suai baju sekolah sendiri sejak tingkatan tiga, sebelum mula mengambil upah mengubah suai pakaian seragam rakan sekolah.

“Dalam tempoh tersebut, kami terus mengambil upah mengubah suai pakaian yang ditempah pelanggan. Sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kami menyertai kursus jahitan anjuran GiatMara Ketereh selama enam bulan.

“Kami memilih untuk membuka perniagaan jahitan sendiri kerana minat dalam jahitan serta ingin mempunyai masa yang fleksibel berbanding bekerja dengan orang lain,” katanya sambil menambah mereka juga pernah bekerja sebagai tukang rumah dan menjalankan perkhidmatan katering.

Azahariduan berkata kerjaya mereka sebagai tukang jahit semakin berkembang apabila berbekalkan modal sendiri, pasangan kembar itu membuka perniagaan sendiri dengan menyewa sebuah lot kedai di Kampung Dewan Beta pada tahun 2015.

“Hasil keuntungan selama enam tahun ini kami kini mampu untuk mempunyai tujuh buah mesin jahit yang lengkap. 

“Kalau boleh dalam masa tiga hingga empat tahun lagi, kami nak buka kedai sendiri di bandar sebab di kampung, tempahan tidak begitu banyak,” kata Azahariduan mengakhiri bicara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan