KUALA LUMPUR, 26 April -- Tidak menjadi kesalahan sekiranya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meminta petugas mereka membantu mempromosi aktiviti dan produk agensi itu, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr M Saravanan.
Beliau turut menggalakkan agar seluruh warga Perkeso menjadi duta kehormat kepada produk dan perkhidmatan yang disediakan pertubuhan itu.
"Apa salahnya sebuah agensi mempromosikan produk mereka melalui petugasnya, ia bukan jenayah dan permintaan itu satu ciri self of belonging warga agensi itu.
"Kenapa MUTC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) melihat ini sebagai satu kesalahan, sedangkan usaha itu yang akan membantu rakyat mengetahui lagi mengenai bantuan dan program yang dimiliki Perkeso," katanya.
Beliau diminta mengulas laporan mengenai tindakan MTUC yang membidas tindakan Perkeso memperuntukkan markah khusus dalam penilaian prestasi pekerjanya berdasarkan kiraan jumlah pautan yang dikongsi mereka dari akaun Facebook rasmi Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Hadiah Promosi Bayar dan Menang Program 2 Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Dalam perkembangan lain, Saravanan berkata PTPK bersedia memberi kelonggaran dan prosedur baharu bagi peminjam yang terkesan akibat COVID-19 untuk pembayaran balik.
Justeru, beliau menyarankan peminjam yang terkesan untuk berbincang dengan pihak PTPK mengatur semula proses pembayaran balik pinjaman mereka.
Beliau berkata menyedari keadaan ekonomi rakyat yang terkesan akibat penularan wabak itu, agensi itu setakat ini tidak berhasrat untuk mengambil tindakan drastik terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.
"PTPK boleh atur balik cara bayaran dan prosedur baharu untuk peminjam bayar pinjaman mereka. Kita sedia untuk menyemak semula pinjaman mereka.
"Walaupun PTPK ada melantik agensi pungutan pinjaman, namun saya tidak mahu agensi ini ambil tindakan drastik dengan cara memaksa," katanya.
Menerusi promosi yang berlangsung selama enam bulan sejak Oktober lepas, PTPK berjaya mencatatkan jumlah kutipan bayaran balik sebanyak RM46.38 juta melibatkan 4,857 akaun peminjam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial