SUKAN

Latif Romly gusar kurang kejohanan sebelum ke Tokyo

25/04/2021 01:40 PM

KUALA LUMPUR, 25 April -- Kekurangan kejohanan olahraga di dalam dan luar negara susulan pandemik COVID-19 nyata menggusarkan atlet paralimpik negara dalam membuat persiapan menghadapi temasya Sukan Paralimpik Tokyo pada Ogos depan.

Perkara itu dinyatakan atlet lompat jauh para negara Abdul Latif Romly yang bakal mempertahankan pingat emas yang dimenangi beliau pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

"Setakat ini kami tiada masalah dengan sesi latihan, cuma sekarang saya hanya nak mencari kejohanan sebab susah nak dapatkan kejohanan ketika ini.

"Kejohanan dalam Malaysia cuma ada satu tahun ini yang saya sertai iaitu Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia tetapi kejohanan di luar negara masih belum ada setakat ini," katanya kepada pemberita pada sesi rakaman takbir Raya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama atlet kebangsaan di sini malam tadi. 

Dalam pada itu, Abdul Latif berkata beliau bersedia dengan sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) menjelang temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 susulan peningkatan drastik kes COVID-19 di Negara Matahari Terbit tersebut.

Pada Rabu lepas, agensi berita Kyodo melaporkan kerajaan Jepun merancang melaksanakan darurat sekali lagi di Tokyo, Osaka dan Hyogo berikutan lonjakan kes COVID-19 sehingga menggugat sistem kesihatan di daerah itu.

Pada edisi Sukan Paralimpik 2016, Abdul Latif merangkul pingat emas acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) dengan catatan 7.60 meter (m) yang juga merupakan rekod baharu dunia pada ketika itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan