SUKAN

Jadual Cub Prix Malaysia mungkin terjejas jika kes COVID-19 meningkat

25/04/2021 11:31 AM

SEPANG, 25 April  -- Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PSBWPKL) bimbang Kejuaraan Cub Prix Malaysia pusingan ketiga yang dijadual berlangsung pada 22 hingga 23 Mei ini akan terjejas sekiranya kes COVID-19 di negara ini terus meningkat.

Presidennya, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata selain itu, jika kes jangkitan terus menunjukkan peningkatan, ia juga mungkin menjejaskan penganjuran pusingan-pusingan seterusnya dengan yang terakhir dijadual pada Disember nanti. 

"Apa pun saya dan pihak PSBWPKL agak lega kerana dua pusingan perlumbaan Cub Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah pun berlangsung pada 20 hingga 21 Mac dan 3 hingga 4 April lepas," katanya pada majlis berbuka puasa PSBWPKL di Paddock Chalet, SIC di sini, malam tadi. 

Tujuh lagi pusingan Cub Prix yang dijadualkan adalah pusingan keempat pada 26 hingga 27 Jun, pusingan kelima (9 hingga 10 Julai), pusingan keenam (7 hingga 8 Ogos), pusingan ketujuh (4 hingga 5 September), pusingan kelapan (9 hingga 10 Oktober), pusingan kesembilan (13 hingga 14 November) dan pusingan terakhir pada 18 hingga 19 Disember.

Selain itu, Shahrol Yuzy berkata PSBWPKL akan menganjurkan dua pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada Jun ini di SIC.

“Pelumba dari pelbagai negara seluruh Asia akan datang ke Malaysia kerana kerajaan telah membenarkan 'bubble sport race' tetapi kami tetap risau jika kes terus meningkat acara ini akan terjejas," katanya. 

Sehubungan itu, Shahrol Yuzy berharap rakyat Malaysia dapat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 agar semua kejohanan sukan di Malaysia dapat dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan