AM

Kempen penanaman 100 juta pokok dapat sambutan

23/04/2021 08:58 AM

KUALA LUMPUR, 23 April -- Kempen Penanaman 100 Juta Pokok menjelang 2025 yang dilancarkan oleh kerajaan sejak Januari lalu menunjukkan sambutan memberangsangkan dengan 5,953,673 pokok telah berjaya ditanam setakat 20 April.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Datuk Zahari Ibrahim berkata jika trend ini berterusan tidak mustahil sasaran yang ditetapkan dapat direalisasikan lebih awal.

“JPSM akan terus menyemarakkan lagi kempen ini supaya semua lapisan masyarakat memahami kepentingan menanam pokok dan menjadi budaya dalam kehidupan sejajar dengan tema ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ceramah Ramadan sempena kempen itu di Ibu Pejabat JPSM di sini Khamis.

Sehingga kini, Sarawak mencatatkan jumlah penanaman tertinggi sebanyak 3,216,341 diikuti Pahang 1,137,978 dan Kelantan 692,758. Angka penanaman itu dijangka mampu mencecah 25 juta pokok menjelang hujung 2021.

Zahari berharap agar lebih banyak pihak seperti belia, badan bukan kerajaan, syarikat korporat dan agensi kerajaan turut serta dalam kempen itu.

Mengulas mengenai program tersebut, Zahari berkata amalan menanam pokok amat dituntut dalam Islam serta disebut di dalam al-Quran dan hadis.

“Amalan menanam pokok adalah satu ibadah yang perlu dilaksanakan dan ganjarannya amat luas,” katanya.

Agenda penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dijalankan bagi meningkatkan kesedaran umum terhadap kepentingan kawasan litupan hijau dan hutan untuk faedah negara selain memelihara dan memulihara kawasan berhutan di seluruh negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan