AM

10 lelaki dikompaun disyaki langgar SOP PKPB

23/04/2021 01:56 AM

KUALA LUMPUR, 22 April  -- Seramai 10 lelaki warga tempatan dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dalam serbuan di sebuah kelab malam di Jalan Kuchai Lama di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata, serbuan di kawasan Pusat Perdagangan Kuchai kira-kira 2 pagi itu, turut menahan 14 individu yang terdiri daripada dua lelaki tempatan yang merupakan pengunjung premis terbabit, seorang lelaki warga Myanmar penjaga premis dan selebihnya wanita warga Vietnam.

“Lelaki warga Myanmar, tiga wanita warga Vietnam dan dua lelaki tempatan didapati positif dadah. Pas lawatan sosial 11 wanita warga Vietnam itu juga telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas satu unit professional mixers, satu unit bertulis Motivity, dua pembesar suara, sehelai bil elektrik atas nama Gan Aik Pang, dadah disyaki MDMA (methylenedioxymethamphetamine) sebanyak 1,590 mililiter, dan dadah jenis ketamin seberat 1.5 gram.

“Semua tangkapan yang berumur 17 hingga 39 tahun direman untuk siasatan lanjut sehingga 5 Mei,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di atas pelbagai kesalahan jenayah di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan Imigresen 1963, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan