KUALA LUMPUR, 22 April -- Seramai 50 individu asnaf yang menetap di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, Setapak, di sini, menerima sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sempena Ramadan.
Ahli Majlis MAIWP Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata menerusi program Ramadan MAIWP Bersama Komuniti Siri 2, asnaf terbabit menerima sumbangan kewangan, bantuan barangan makanan dan keperluan harian.
Selain itu, sumbangan kewangan RM12,500 turut diberikan kepada pengurusan Surau Muhajirin PA Desa Rejang dan sebuah motosikal roda tiga diberikan kepada penerima Orang Kurang Upaya (OKU), Mohd Filus Yahya, 57.
"Kemampuan MAIWP melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bantuan ini adalah hasil dana zakat yang dibayar oleh pembayar zakat di Kuala Lumpur.
"Pada masa sama, MAIWP turut menyeru lebih ramai rakan korporat dan industri untuk bersama-sama kami untuk membantu lebih ramai golongan yang memerlukan," kata Mohd Roslan pada majlis penyampaian sumbangan program itu hari ini.
Mohd Roslan berkata dengan pelbagai program bantuan akan dilaksanakan sepanjang Ramadan, MAIWP terus komited untuk membantu golongan sasaran itu khususnya dalam keadaan masyarakat masih berdepan impak ekonomi susulan penularan COVID-19.
Sementara itu, Mohd Filus berkata kenderaan roda tiga itu bakal meringankan bebannya yang bekerja sebagai tukang kayu.
"Dah dapat motosikal ni, mudahkan saya untuk ambil kayu dan hantar tempahan pelanggan...semoga lebih ramai orang senasib saya dapat bantuan seperti ini," katanya yang menghidap penyakit saraf kaki.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial