BERITA TERGEMPAR | Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | |
KUALA LUMPUR, 22 April -- Moody's Investors Service memberi penarafan A2 ke atas cadangan terbitan nota senior tidak bercagar dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) oleh Petronas Capital Ltd yang melibatkan program nota jangka sederhana (MTN) syarikat tersebut.
Penganalisis Moody's, Hui Ting Sim berkata penarafan A2 itu menggambarkan kekukuhan metrik kredit dan mudah tunai Petronas yang memberangsangkan dengan rekod prestasi mengekalkan kedudukan tunai bersih dalam persekitaran kitaran harga minyak.
Nota berkenaan adalah tidak bersyarat dan dijamin oleh syarikat induk, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada asas bukan subordinat dan jaminan tersebut akan menjadikannya setara dengan obligasi tidak bercagar dan bukan subordinat Petronas.
“Hasil daripada terbitan itu akan digunakan bagi pembiayaan semula hutang serta tujuan am korporat manakala prospek penarafannya juga adalah stabil,” kata Moody's dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas rasional penarafan itu, Moody's berkata metrik kredit Petronas berkemungkinan kekal kukuh sepanjang tempoh 2021 hingga 2022 dengan pelarasan hutang atau permodalannya sekitar 22 peratus.
Sementara itu, Petronas melaporkan bahawa kedudukan tunai bersihnya susut kepada RM52 bilion pada 2020 daripada RM82 bilion pada 2019 berikutan aliran bebas tunai negatif susulan cabaran akibat pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, metrik mudah tunai dan kredit Petronas kekal mantap walaupun dalam persekitaran pasaran yang mencabar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial