BERITA COVID–19   PKPD di dua lokaliti Sarawak ditamatkan | 440 individu ditahan ingkar SOP PKP semalam- Ismail Sabri | Pasar Awam Bagan Ajam ditutup tiga hari | COVID: Kes baharu 4,855 hari ini, Selangor kekal catat kes tertinggi | COVID-19: CPRC Kelantan tidak galak pengasingan di rumah | 
AM

Koperasi pelawa individu terjejas COVID-19 sertai 'Tut Tut Delivery'

22/04/2021 05:09 PM

ALOR SETAR, 22 April -- Individu yang terjejas oleh penularan wabak COVID-19, terutamanya yang kehilangan pekerjaan, dipelawa menjadi penghantar makanan ‘Tut Tut Delivery’ yang dibangunkan oleh sebuah koperasi di negeri ini.

Pengerusi Koperasi Pembangunan Ekonomi Islam Kedah Bhd Datuk Seri Yaacob Hassan berkata pihaknya terpanggil untuk mewujudkan perkhidmatan itu bagi memberi peluang kepada orang ramai yang masih mencari pekerjaan untuk bersama-sama berkongsi rezeki melalui inisiatif tersebut.

“Kita juga fokuskan kepada para peniaga yang terpaksa keluar dari kedai kerana tidak lagi mampu membayar sewa dalam tempoh pandemik ini. Melalui ‘Tut Tut Delivery’ mereka masih boleh menjual dari rumah dengan menggunakan khidmat penghantar kami.

“Mana-mana individu yang mahu mendaftar sebagai penghantar atau pembekal makanan boleh terus datang mendaftar di koperasi kami di Jalan Putra, (di sini) secara percuma,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata  perkhidmatan ‘Tut Tut Delivery’ akan dilancarkan secara rasmi pada 1 Mei ini.

“Buat permulaan, khidmat ini ditawarkan di sekitar daerah Kota Setar dan kita akan mengembangkan kawasan liputan kita secara berperingkat,” katanya.

Mengenai aplikasi ‘Tut Tut Delivery’, Yaacob berkata sistem berkenaan dibangunkan dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Kalau beli sistem seperti ini dari luar negara, kosnya sangat mahal dan tanpa kerjasama pihak UUM kita tiada peluang untuk membangunkan sistem ini dan tidak dapat bersama-sama membantu mereka yang terkesan oleh wabak ini,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, seramai 15 individu telah berdaftar sebagai penghantar, manakala 30 pengusaha makanan juga sudah menyertai ‘Tut Tut Delivery’.

“Pendaftaran masih dibuka dan yang paling penting mereka yang ingin mendaftar sebagai penghantar perlu ada motosikal sendiri dan mempunyai lesen, manakala pengusaha makanan perlu mematuhi peraturan penjualan makanan yang ditetapkan termasuk mendapatkan suntikan kesihatan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan