IPOH, 22 April -- Pasangan badak air, Jiwang dan Juwita selamat disatukan dalam satu upacara 'perkahwinan' bercirikan adat Melayu tradisional yang diadakan di Hippo Kingdom di Lost World Of Tambun (LWOT) di sini, semalam.
Jiwang yang berusia kira-kira 10 tahun, seberat satu tan manakala Juwita berusia 21 tahun seberat 1.4 tan itu diraikan dengan kehadiran kira-kira 100 hadirin memeriahkan penyatuan dua jiwa pasangan mamalia itu.
Upacara secara ringkas itu diserikan dengan kedua-dua 'mempelai' dibawa masuk diiringi dengan paluan kompang dan bunga manggar serta beberapa dulang hantaran turut disediakan berserta dengan acara makan beradab.
Momen lucu pada upacara itu berlaku apabila si Jiwang tiba-tiba mencicit berlari keluar sebaik sahaja si Juwita muncul dari pintu masuk dari arah yang berlainan menuju ke dalam kolam dan akhirnya kedua-dua pasangan itu bertemu.
Para tetamu yang hadir dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan turut diberikan 'bunga telur' selain disajikan dengan pelbagai hidangan lauk kenduri kahwin antaranya nasi minyak, ayam masak merah, udang goreng berempah, kari kambing, ikan percik, acar rampai dan manisan mulut.
Pengurus Besar Lost World Of Tambun (LWOT) Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata pihaknya melakukan pelbagai persiapan untuk upacara 'perkahwinan' itu sejak November tahun lalu kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.
"Kami perlu mendapatkan eksibit dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak bagi membolehkan kedua-duanya dapat tinggal bersama dalam satu kandang yang sama kerana badak air merupakan haiwan yang sangat agresif dan bahaya di Afrika.
"Kami juga telah melakukan pencarian pasangan sejak lima tahun lalu untuk Juwita sejak dibawa ke LWOT. Bukan mudah untuk mencari pasangan Juwita kerana badak air jantan tidak boleh daripada genetik yang sama, khuatir boleh menyebabkan bakal anak badak air yang dilahirkan cacat atau tidak boleh hidup dalam tempoh yang lama," katanya pada sidang media selepas upacara berkenaan.
Untuk rekod, Juwita sebelum ini berada di Gaborone, Bostwana, Afrika sebelum dibawa berhijrah ke sini pada 2001 dan kini menjadi puteri badak air di LWOT.
Jiwang pula merupakan sejenis ‘alpha hippo’ yang baru sahaja dibawa dari Pahang sejak tiga bulan lepas sekali gus kehadirannya mengubat kesunyian ‘kisah cinta’ Juwita yang selama ini mencari pasangan untuk berkongsi perasaan, hiburan dan makanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial