AM

‘Paramapatham’ raih pelbagai anugerah antarabangsa, mampu tembusi pasaran luar

20/04/2021 09:52 PM

KUALA LUMPUR, 20 April -- Filem Tamil tempatan ‘Paramapatham’ disifatkan mempunyai nilai pencapaian peribadinya tersendiri apabila berjaya merangkul 18 anugerah dalam pelbagai festival filem di peringkat antarabangsa.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata pihak produksi filem itu membuktikan inisiatif dan komitmen mereka mampu menembusi pasaran antarabangsa dan usaha itu perlu dihargai.

“Filem (Paramapatham) ini telah mendapat 18 anugerah di peringkat antarabangsa (dan) satu-satunya filem Malaysia yang telah mendapat pasaran yang cukup baik di India. Jadi, kita (KKMM) mengucapkan tahniah.

“Ia bukan sahaja filem hebat, tetapi juga mempunyai pelakon, penyanyi dan lagu yang hebat dan semuanya menepati kualiti untuk ke peringkat antarabangsa dan sebab itulah filem ini mendapat anugerah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan treler dan audio lagu filem ‘Paramapatham’.

Selain itu, Zahidi berkata filem itu berjaya dicatatkan dalam Malaysia Book of Records, Asian World Records dan Grand Asian Book of World Records sebagai filem Tamil tempatan paling banyak menerima anugerah antarabangsa.

Filem thriller fantasi itu mengisahkan seorang ahli arkeologi bernama Aroon serta tiga rakannya yang menjumpai sebuah mainan berpapan (board game) kuno terpahat perkataan "Paramapatham" dalam perjalanan mereka.

Filem itu diarahkan oleh dua beradik Viknes Perrabu dan Thanesh Perrabu serta diterbitkan oleh Dr. Latcha Perrabu dan akan mula ditayangkan mulai 29 April ini di pawagam seluruh negara.

Antara anugerah yang berjaya dimenangi filem itu termasuk Anugerah Sinematografi Terbaik di Festival Filem Norway, ‘Best Feature’ di Filem Festival Tagore serta Anugerah Penerbit Terbaik di Festival Filem Coimbatore.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan