KUALA LUMPUR, 20 April -- AmInvest mengumumkan agihan pendapatan berjumlah kira-kira RM12 juta bagi tujuh dana AmPRS di bawah skim persaraan persendirian (PRS) meliputi tawaran PRS konvensional dan patuh syariah di pelbagai kelas aset.
Dalam kenyataan pada Selasa, Ketua Pegawai Eksekutif, Goh Wee Peng berkata dana-dana AmPRS menyediakan agihan pendapatan sebanyak 3.0 hingga 13 peratus setahun manakala pulangan secara keseluruhan bagi dana-dana ini termasuk agihan pendapatan kali ini adalah mencecah 33 peratus bagi setakat 10 Feb, 2021.
Bagi tempoh setahun lepas (setakat 10 Feb, 2021), AmPRS-Islamic Equity Fund memberikan pulangan keseluruhan kira-kira 33 peratus dan agihan pendapatan diumumkan sebanyak 10 sen, bersamaan dengan hasil sebanyak 12 peratus.
AmPRS-Islamic Balanced Fund pula mencatatkan pulangan keseluruhan sebanyak 22 peratus dan agihan pendapatan pada enam sen, bersamaan dengan hasil sebanyak lapan peratus.
Agihan pendapatan bagi AmPRS-Conservative Fund pula lapan sen, bersamaan dengan hasil sebanyak 13 peratus.
Sementara itu, bagi tempoh lima tahun lepas (setakat 10 Feb, 2021), pulangan keseluruhan tahunan bagi AmPRS-Islamic Equity Fund dan AmPRS-Islamic Balanced Fund masing-masing adalah kira-kira 11 peratus dan sembilan peratus.
Selain itu, AmPRS-Asia Pacific REIT (amanah pelaburan hartanah); AmPRS-Dynamic Sukuk dan AmPRS-Conservative Fund memberikan pulangan tahunan lima tahun masing-masing sebanyak enam peratus, lima peratus dan lima peratus bagi tempoh yang sama.
Goh mengulangi bahawa prestasi kesemua dana itu merupakan bukti dan pengesahan terhadap kepakaran dan kemampuan pelaburan oleh pengurus-pengurus dana yang diperoleh sejak empat dekad lepas.
“Walaupun persekitaran pasaran adalah mencabar dan tidak menentu tahun lepas, kami menggunakan strategi pelaburan yang wajar bagi portfolio dana kami untuk memanfaatkan turun naik pasaran,” katanya.
AmInvest diumumkan sebagai Pengurus Dana Persaraan Terbaik Malaysia bagi tahun ketiga berturut-turut baru-baru ini oleh Asia Asset Management semasa Anugerah Terbaik Daripada Yang Terbaik 2021.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial