BERITA COVID–19   PKP 3.0 tidak seketat PKP 1.0 kerana enggan rakyat susah | Varian baharu COVID-19 menular di beberapa negeri, masyarakat perlu terus patuh SOP | PKP 3.0 dijangka tidak beri impak signifikan kepada pertumbuhan ekonomi - Tengku Zafrul | COVID: Malaysia rekod 3,973 kes, 22 kematian - KP Kesihatan | Polis nafi kluster Jalan Canning berpunca dari aktiviti GRO | 
EKONOMI

CIMB Bazar Siberturahim diadakan lagi tahun ini untuk beri peluang kepada perusahaan mikro

20/04/2021 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 20 April -- CIMB Bank Bhd dan unitnya CIMB Islamic Bank Bhd sekali lagi menganjurkan CIMB Bazar Siberturahim bagi mewujudkan peluang perniagaan untuk perusahaan mikro serta memberi peluang kepada pelanggan membuat sumbangan amal melalui zakat fitrah dan derma kepada pertubuhan bukan kerajaan yang terpilih.

Memasuki tahun kedua, bazar kali ini bertemakan “Segalanya di sini, Ramadan Raya ini”.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan perbankan berkenaan berkata bazar dalam talian itu adalah platform sehenti bagi para pelanggan untuk menikmati tawaran eksklusif CIMB dan mencipta kembali pengalaman membeli-belah Raya dengan menghimpunkan sejumlah tawaran menarik untuk memenuhi keperluan pelanggan pada musim perayaan.

"Untuk menyokong perniagaan tempatan yang terus terkesan oleh pandemik, bazar ini akan mengetengahkan dan mempromosikan perniagaan mikro tempatan, termasuk chef selebriti Chef Wan yang akan memberikan petua berguna dalam menyediakan resipi Raya yang tidak ditelan zaman,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB (Perbankan Pengguna Kumpulan ) Samir Gupta.

Beliau berkata sejajar dengan agenda kelestarian bank, bazar ini juga akan menampilkan biskut Raya dan produk lain daripada perniagaan dan perusahaan mikro tempatan.

Ia termasuk pengusaha dari golongan berpendapatan B40 yang menyertai Program Keusahawanan Taylor's-CIMB Islamic selain Program ‘Women of Will Microcredit’ dan program pembangunan keusahawanan untuk usahawan wanita oleh Yayasan CIMB.

Maklumat lanjut mengenai bazar boleh didapati dengan melayari https://www.cimb.com.my/bazarsiberturahim.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan