KUALA LUMPUR, 20 April -- Sejumlah 1,000 bungkus bubur lambuk sehari diagihkan secara percuma kepada warga Bandar Sri Permaisuri, Cheras dan kawasan sekitarnya sepanjang Ramadan ini menerusi program ‘Infaq Ramadan Bersama Q Bistro’, mulai 15 April lepas.
Pengarah Urusan Q Bistro Riyasutin B Mohamed Dulkif berkata program yang diadakan di Q Bistro cawangan Cheras itu bertujuan bagi menghulur sumbangan kepada golongan memerlukan selain memberi ruang kepada kakitangan restoran untuk membantu penduduk setempat.
“Program kemasyarakatan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan sempena Ramadan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Q Bistro juga akan mengagihkan pek barangan keperluan asas dan wang tunai kepada 100 keluarga asnaf di Bandar Sri Permaisuri seperti beras, gula, minyak masak, tepung dan bahan-bahan asas lain yang ditaja sepenuhnya oleh restoran itu.
Majlis perasmian program ‘Infaq Ramadan Bersama Q Bistro’ telah dirasmikan Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Kamarudin Jaffar pada 15 April lepas di Q Bistro cawangan Cheras.
Q Bistro adalah jenama francais Malaysia berkonsepkan restoran Nasi kandar moden yang menawarkan peluang perniagaan francais bagi menggalakkan lebih ramai menceburi francais Q Bistro.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial