AM

SEDA rancakkan promosi program 'SAVE 2.0'

20/04/2021 02:09 AM

PUTRAJAYA, 19 April  -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) akan merancakkan promosi program ‘Sustainability Achieved via Energy Efficiency’ (SAVE) 2.0 memandangkan hanya 40,000 isi rumah memanfaatkannya setakat ini.

Pengerusi SEDA Lukanisman Awang Sauni berkata, hanya RM8 juta dibelanjakan bagi tujuan program itu daripada RM30 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan, dengan jangkaan akan memanfaatkan 140,000 isi rumah.

SAVE 2.0 merupakan program pemberian e-rebat RM200 kepada isi rumah, yang membeli alat penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga melalui platform Lazada dan Shoppee, dan barangan tersebut perlu menjalani pengesahan pengujian prestasi peralatan cekap tenaga, yang mendapat empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tautan Kasih Ramadan SEDA Malaysia, yang meraikan 33 penghuni Rumah Bakti Al-Kausar Bangi di sini hari ini beliau berkata, SEDA akan mengenal pasti kekangan dan permasalahan yang wujud, dalam menebus rebat berkenaan.

“SEDA  juga menerima permohonan agar rebat diperluaskan kepada semua perkakas elektrik, dan secara tidak langsung ia akan menjana pendapatan kepada peniaga perkakas elektrik yang lain,” katanya.

Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata, cara penebusan rebat akan ditambah baik, contohnya ditebus di kedai elektrik berdekatan, memandangkan pembelian secara dalam talian menghalang penduduk luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak, manakala caj penghantaran dari Lazada dan Shoppee juga tinggi.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika berucap pada majlis itu berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri, yang tidak bekerjasama dalam pelaksanaan projek industri Tenaga Boleh Baharu (TBB).

Katanya, tindakan tegas seperti penarikan balik kuota Tarif Galakan (FiT) yang telah diluluskan boleh dilakukan, selaras dengan kuasa dan peruntukan perundangan.

“Kuota yang ditarik balik akan ditawarkan semula melalui proses ‘e-bidding’. Langkah ini penting bagi memastikan supaya perancangan dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan boleh dicapai, dan kuota tersebut boleh ditawarkan semula kepada pemaju projek TBB yang komited dan berdaya maju,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan