EKONOMI

Allianz Malaysia sertai gerakan Rasuah Busters, perangi gejala negatif

19/04/2021 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 19 April  -- Allianz Malaysia Bhd telah menyatakan ikrar untuk menyokong gerakan ‘#RasuahBusters’ dalam usaha memperkasa masyarakat untuk menolak gejala negatif tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakri Khir berkata menerusi slogan ‘Kami Anti Rasuah,’ kini sudah tiba masanya bagi pihak korporat dan individu untuk berganding bahu menolak semua bentuk jenayah rasuah selain menuntut kebertanggungjawaban daripada mereka yang berkuasa atau memegang jawatan terbabit.

“Rasuah wujud dalam segenap masyarakat dan industri, termasuk insurans. Usaha memerangi rasuah ini memerlukan momentum dan komitmen.

“Oleh itu, menerusi pembabitan dengan Rasuah Busters, kami berharap dapat membuat pendirian bersama dalam menolak segala bentuk rasuah; berkongsi suara ke arah memerangi rasuah dan selaku pemimpin industri dapat membuka jalan agar dapat dicontohi pihak lain,” katanya pada majlis pelancaran Kerjasama Allianz Malaysia dan Rasuah Busters di sini, pada Isnin.

Rasuah Busters yang diterajui oleh Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, telah dilancarkan pada 29 Jan, 2021 dan bertujuan mengembalikan serta membentuk transformasi dan integriti negara untuk menghapuskan semua bentuk gejala rasuah.

Ketika berucap, Zakri berkata antara inisiatif pertama sempena kerjasama dengan Rasuah Busters adalah pengedaran sebanyak 250,000 pelekat kereta khas dengan slogan ‘#RasuahBusters - Saya Anti Rasuah’ kepada pemegang polisi komprehensif syarikat itu.

“Kami berharap tindakan memaparkan pelekat ini dapat menggalakkan mana-mana pihak untuk menolak daripada melakukan amalan rasuah ini,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia berada di kedudukan ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2020 dengan skor sebanyak 51 dan di belakang Singapura (di tempat ketiga dengan skor 85) manakala Brunei Darussalam (tempat ke-35 dengan skor 60). 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata sebanyak 3,981 kertas siasatan membabitkan jenayah rasuah telah dibuka bagi tempoh 2017 hingga 31 Mac, 2021 yang melibatkan masing-masing 4,194 tangkapan, 1,601 pertuduhan serta 856 sabitan. 

Menurutnya, daripada keseluruhan kertas siasatan itu, sebanyak 627 membabitkan sektor swasta dengan sejumlah 927 tangkapan dan 256 pertuduhan serta kadar sabitan sebanyak 125 kes.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan