AM

PKP di Mukim Endau, Mukim Triang di Mersing, Johor mulai esok hingga 3 Mei

19/04/2021 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 19 April -- Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di Mukim Endau dan Mukim Triang di Mersing, Johor bermula esok hingga 3 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKP di dua mukim itu berikutan masih terdapat kes baharu Kluster Kampung Air Batang dikesan di kedua-dua lokaliti terbabit  walaupun  telah melebihi dua tempoh inkubasi (28 hari) serta mengelak penularan kes ke lokaliti lain.

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 437 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 69 kes positif COVID-19 direkodkan,  manakala 29 lagi sampel ujian masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengumumkan penamatan PKP Diperketatkan (PKPD) di Kampung Murni C, Nabawan di Sabah seperti yang dijadualkan esok.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko COVID-19, selain KKM mengesahkan berlaku penurunan dan kluster adalah terkawal dengan kes terakhir direkodkan pada 13 April lepas.

Mengenai pasukan petugas operasi pematuhan, beliau berkata 196 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam, dengan 191 daripadanya dikompaun manakala lima lagi direman.

Kesalahan tiada penjarakan fizikal mencatat jumlah kes tertinggi melibatkan 119 individu, diikuti tidak memakai pelitup muka (21), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (15), aktiviti pusat hiburan (13) dan lain-lain (28).

Menerusi Operasi Benteng semalam, Ismail Sabri berkata 31 pendatang tanpa izin ditahan dan sembilan kenderaan darat dirampas serta  dua pendatang tanpa izin turut diusir.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan