KUALA LUMPUR, 19 April -- Moody's Investors Service telah memberikan penarafan A3 yang tidak bercagar senior ke atas Sijil Amanah (sukuk) dolar US yang dicadangkan dengan tempoh matang 10 dan 30 tahun, yang akan diterbitkan oleh Malaysia Wakala Sukuk Berhad.
Malaysia Wakala Sukuk Berhad adalah syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia.
Moody dalam satu kenyataan hari ini berkata penarafan A3 yang diberikan kepada sukuk berada pada paras yang sama dengan penarafan penerbit jangka panjang mata wang tempatan dan pertukaran mata wang asing Kerajaan Malaysia.
Ia berkata penarafan A3 terhadap Malaysia itu disokong oleh ekonominya yang pelbagai, kompetitif dan ekonominya yang besar, potensi pertumbuhan jangka menengah yang kukuh berbanding dengan negara lain dan sumber semula jadi yang mencukupi.
"Institusi pembuat dasar makroekonomi yang diyakini dan berkesan juga menyumbang kepada kestabilan dan menyokong daya tahan ekonomi negara.
"Keadaan ini telah menghasilkan sejumlah besar simpanan domestik dari masa ke semasa yang merangkumi pembayaran faedah untuk kerajaan dan mengurangkan risiko kecairannya dan bergantung kepada pembiayaan luaran," katanya.
Seimbang dengan kekukuhan kredit itu adalah asas pendapatan kerajaan yang kecil yang menghadkan fleksibiliti fiskal dan beban hutang yang secara relatifnya tinggi dan kemampuan hutang yang lemah berbanding dengan negara-negara lain, katanya.
Menurut Moody’s, gangguan politik juga dapat mengalihkan perhatian kerajaan daripada memberi keutamaan terhadap dasarnya terutama reformasi jangka panjang yang dapat memperkukuhkan profil kredit dari masa ke semasa.
Sementara itu, hasil sukuk akan digunakan oleh penerbit untuk membeli aset Wakala yang terdiri daripada baucar yang mewakili hak perjalanan bagi pengangkutan awam terpilih di Malaysia.
Aset tersebut akan diuruskan oleh Kerajaan Malaysia sebagai ejen bagi penyediaan perkhidmatan Wakala untuk pihak penerbit (bertindak sebagai pemegang amanah bagi pemegang sijil).
Kerajaan akan mengumpulkan semua pulangan aset portfolio dengan jumlah pengagihan berkala yang perlu dibayar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial