KUALA LUMPUR, 18 April -- Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah di Kelantan mulai esok hingga 2 Mei berikutan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini beliau berkata, pelaksanaan PKPD di kawasan ini setelah penilaian risiko dibuat bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).
"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 396 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 43 kes positif telah direkodkan.
"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar," katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata PKPD di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik, Felcra Keruak, Hulu Besut, Besut di Terengganu yang dijadualkan tamat pada 20 April depan, dilanjutkan mulai 21 hingga 27 April.
"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 2,038 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut secara kumulatif sebanyak 103 kes positif telah direkodkan.
"KKM melaporkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD dan terdapat sebanyak 309 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan," katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata 158 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard semalam dengan 131 dikenakan kompaun manakala 27 lagi direman.
"Menerusi Operasi Benteng semalam telah merampas lapan kenderaan darat dan seramai 10 pendatang tanpa izin diusir melalui dua aktiviti pengusiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial