AM

KEBUN BANDAR 'HIJRAH WARRIOR', LEMBARAN BAHARU BUAT GELANDANGAN

18/04/2021 08:17 PM

Oleh Suhaila Said dan Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 18 April -- Pernah hilang arah untuk meneruskan kehidupan, Mus (bukan nama sebenar) yang pernah hidup bergelandangan ketika datang ke ibu kota untuk mencari pekerjaan, kini mendapat semangat baharu dan mula menanam azam untuk bergelar petani berjaya suatu hari nanti. 

Segalanya bermula daripada ilmu yang ditimbanya menerusi projek kebun bandar ‘Hijrah Warrior’ di Pusat Transformasi Anjung Kelana,  sejak awal bulan lepas yang memupuk minatnya terhadap tanaman sayuran seperti timun, jagung  dan sawi sekali gus menyuntik semangat untuk berjaya seperti orang lain. 

"Di kampung saya tak pernah pegang cangkul (untuk berkebun) pun, semuanya diajar di sini dari A sampai Z. Rasa seronok dan teruja bila lihat kebun yang diusahakan membuahkan hasil, saya harap terus diberi peluang berkebun seperti sekarang," katanya kepada Bernama. 

Mus adalah antara 70 gelandangan dalam program pertanian bandar diilhamkan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, yang dibimbing untuk menceburi perkebunan bandar sebagai inisiatif mengubah cara hidup kelompok berkenaan dan membawa mereka keluar daripada alam gelandangan.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Anwar Mohd Zain berkata pusat transit yang dibina di bekas tapak Desa Water Park itu bertujuan memberi kemahiran serta membuka peluang pekerjaan berkaitan perkebunan dan pertanian kepada golongan tersebut. 

“Kita cuba didik mereka di pusat transformasi ini. Bukan setakat kebun bandar, malah program-program lain turut diadakan di sini. Kita nak selamatkan mereka dan urus mereka supaya kehidupan lebih teratur,” katanya kepada Bernama.

Menurut Anwar selama sebulan keberadaan golongan itu di Anjung Kelana, ada sebilangannya menunjukkan perubahan sikap dan berminat dalam mengusahakan kebun yang berkeluasan 82,000 kaki persegi itu.

“Buat masa ini yang betul-betul berminat, tujuh orang (10 peratus dari keseluruhan peserta), kita harap bila mereka nampak hasil tanaman dah berbuah dan sebagainya akan menarik minat yang lain pula,” katanya. 

Berbekalkan latihan dan motivasi yang diberikan di pusat itu, beliau berharap agar kumpulan gelandangan boleh mengubah diri serta mendapat pekerjaan dalam bidang pertanian dan perladangan di pelbagai lokasi di luar Kuala Lumpur. 

“Kita harap hati mereka terbuka berbakti kepada tanah yang boleh menjana pendapatan sekali gus menggerakkan hati dan mempunyai jati diri kerana merasakan diri mereka juga berguna dan berpeluang sama seperti orang lain,” katanya.

Anwar berkata DBKL juga merancang mewujudkan aktiviti jualan di Pusat Transformasi Anjung Kelana bagi memasarkan hasil tani gelandangan yang telah memanfaatkan tanah lapang di sekitar pusat transit tersebut dan kawasan sekitar bawah laluan tiang pencawang elektrik berdekatan.

Sementara itu, Persatuan Kebajikan Golongan Asnaf dan Gelandangan Kuala Lumpur dan Selangor (KASGE) Rashdan Rashid berkata selepas tiga bulan diberi pendedahan dan latihan, gelandangan yang menunjukkan minat akan dibawa untuk mengusahakan kebun, projek pertanian atau ladang yang lebih besar. 

"Kita mahu transformasikan golongan gelandangan ini menjadi usahawan tani di beberapa tanah milik rakan-rakan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) kita seperti di Jelebu, Negeri Sembilan dan lokasi lain," katanya yang mengetuai barisan pembimbing kebun bandar itu.

Rashdan berkata pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dalam menggalakkan hasil tanaman serta memberi latihan asas perniagaan 

“Kita mahu gelandangan yang selama ini dilihat hanya dibantu dengan pemberian makanan juga boleh menghasilkan makanan dan pendapatan sendiri," katanya.

Terdapat 1,000 gelandangan yang diselamatkan DBKL sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan pada 18 Mac tahun lepas bagi mengekang penularan COVID-19.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan