BERITA COVID–19   COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | Aktiviti rentas daerah, negeri seluruh negara dilarang selama empat minggu mulai Isnin | Rakyat perlu ambil iktibar tsunami COVID-19 di India - KP Kesihatan | Ujian pengesanan COVID-19 guna ‘test-kit’ air liur dilaksanakan dalam masa terdekat | COVID-19: KKM kesan 46 kluster rentas negeri | 
JENAYAH & MAHKAMAH

Skuad projek FAM-MSN kenal pasti tiga pemain tunjukkan peningkatan ketara

18/04/2021 08:41 AM

SHAH ALAM, 18 April  -- Skuad ‘ubi muda’ Projek FAM-MSN telah mengenal pasti tiga pemain yang menunjukkan peningkatan ketara dalam bola sepak dan setanding dengan pemain Liga Premier yang lain.

Namun, ketua jurulatih skuad itu Yusri Che Lah enggan mendedahkan nama tiga pemain berkenaan kerana gusar mereka akan hilang fokus kerana memikirkan sudah berjaya.

“Biar ini antara saya dengan pemain dan saya harap tiga pemain itu akan meneruskan peningkatan dan pemain lain mengikuti prestasi yang ditunjukkan mereka,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Kelantan United FC malam tadi.

Walaupun tewas 0-3 di laman sendiri dalam aksi Liga Premier itu, Yusri berkata beliau berbangga dan kagum dengan barisan pemainnya yang berusia antara 17 hingga 20 tahun bermain pada bulan Ramadan buat pertama kali.

Beliau berkata skuad bimbingannya itu memerlukan masa antara tiga hingga enam bulan ataupun setahun untuk menonjol.

Menafikan para pemainnya berada dalam keadaan tertekan pada perlawanan di Stadium UiTM, Shah Alam malam tadi, Yusri berkata pemain perlu keluar daripada kotak pemikiran sendiri dan terus berusaha untuk meneruskan perjuangan liga yang masih berbaki 11 perlawanan lagi.

“Semua pasukan akan terus memberi tekanan dari awal hingga akhir kerana pihak lawan perlukan jaringan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan