AM

KPM ambil tindakan terhadap sekolah tetapkan aktiviti kokurikulum mengikut kaum

17/04/2021 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 17 April  -- Tindakan segera dan sewajarnya telah diambil Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap sebuah sekolah menengah di Johor, yang dikatakan menetapkan syarat sesetengah aktiviti kokurikulum kepada pelajar tingkatan satu termasuk sukan, hanya terbuka untuk satu kaum sahaja.

Terkejut dan dukacita dengan perkara itu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menyatakan, panduan yang dikeluarkan sekolah itu bertentangan dengan matlamat dan asas pelaksanaan program sukan di sekolah.

“Biarlah anak-anak kita main bersama tanpa mengira siapa mereka. Kita tahu bahawa sukan adalah satu medium pengukuhan perpaduan yang amat berkesan. Dalam bersukan, semua ahli pasukan akan berikhtiar sehabis baik untuk memperoleh kemenangan.

“Tentunya tidak pernah terlintas di benak fikiran mereka, Aku kaum lain, maka... Tidak sama sekali. Sebab itulah sukan merupakan wadah yang dapat mewujudkan satu semangat kebersamaan yang jitu,” menurutnya dalam satu catatan Facebook hari ini.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter mempersoalkan tindakan sekolah menengah di Batu Pahat, Johor itu dan memuat naik gambar sekeping surat, yang mengandungi senarai kelab dan persatuan serta sukan yang didakwa terbuka untuk satu kaum sahaja.

Senarai itu antara lain menyatakan kelab Bahasa Cina hanya terbuka untuk pelajar kaum Cina sahaja, bola sepak (Melayu), bola keranjang (Cina), ping pong (Cina), bola jaring (Melayu) dan sepak takraw (Melayu).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan