BERITA COVID–19   PKPD di dua lokaliti Sarawak ditamatkan | 440 individu ditahan ingkar SOP PKP semalam- Ismail Sabri | Pasar Awam Bagan Ajam ditutup tiga hari | COVID: Kes baharu 4,855 hari ini, Selangor kekal catat kes tertinggi | COVID-19: CPRC Kelantan tidak galak pengasingan di rumah | 
SUKAN

Jaringan Leandro, Bergson bantu JDT atasi Sri Pahang FC

17/04/2021 01:16 AM

KUALA LUMPUR, 16 April -- Jaringan dua pemain import Leandro Velazquez dan Bergson da Silva menghadiahkan kemenangan ketujuh buat Johor Darul Ta'zim (JDT), pada aksi menentang Sri Pahang FC yang merupakan antara dua perlawanan pertama Liga Super di bulan Ramadan, malam ini.

Kemenangan 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, itu membolehkan JDT mengumpul 23 mata untuk melebarkan penguasaan di puncak liga kepada lima mata, dengan Terengganu FC sebagai pencabar terdekat di kedudukan kedua.

Manakala ini merupakan kekalahan keenam keseluruhan buat Sri Pahang FC, dan keempat buat ketua jurulatih Dollah Salleh sejak mengambil alih tugas selaku pengendali pasukan daripada Thomas Dooley, yang direhatkan pertengahan bulan lepas.

Turun ke gelanggang keramat skuad Tok Gajah, JDT dengan rekod tanpa kalah menguasai 45 minit pertama perlawanan menerusi gandingan trio di bahagian serangan - Gonzalo Cabrera, Bergson dan pemain muda Arif Aiman Mohd Hanapi, yang kerap menguji benteng pertahanan Sri Pahang FC.

Namun, Leandro mencetak nama sebagai penjaring sulung selepas melepaskan rembatan kaki kanan bola tampanan rakan sepasukan Mohd Afiq Fazail dalam kotak penalti pada minit ke-23.

Babak kedua menyaksikan penguasaan permainan masih menjadi milik skuad Harimau Selatan, dan ia lebih terserlah selepas pemain pertahanan Mohamad Ezanie Mat Salleh diperintahkan keluar padang pada minit ke-70, susulan mengutip kad kuning kedua.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya JDT dalam menggandakan asakan sebelum, Bergson meledak gol kedua pasukan pelawat yang juga jaringan kesembilan dalam tujuh penampilan bersama pasukan.

Pada masa sama, gol tunggal pemain tengah Terengganu FC Makan Konate pada penghujung perlawanan, memastikan pasukan tuan rumah mengutip tiga mata penuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu selepas mengatasi pasukan di kedudukan kelima Kuala Lumpur City FC.

Sementara itu, pada aksi Liga Premier menyaksikan pendahulu liga Sarawak United FC mengalami kekalahan pertama musim ini ,selepas tunduk 0-2 di tangan PDRM FC di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Dua gol skuad Sang Saka Biru disumbangkan masing-masing kapten pasukan Lazarus Kaimbi, menerusi sepakan penalti pada minit ke-60 dan pemain gantian Mohamad Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-87.

Sarawak United FC kekal di kedudukan teratas dengan mengumpul 16 mata sementara JDT II di tempat kedua, dengan perbezaan dua mata.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan